Seo Services

QZ8501 : Jenazah Rakyat Malaysia Diterbangkan Ke Sarawak


SURABAYA : Penantian keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden AirAsia QZ8501 pada 28 Disember tahun lepas berakhir, apabila jenazah Sii Chung Huei diterbangkan ke Kuching, Sarawak hari ini.

Jenazah Sii berlepas dengan pesawat C-130 penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Landasan Udara Angkatan Laut (LANUDAL) Tentera Nasional Indonesia di Juanda pada 10.40 pagi tadi.

Turut menaiki pesawat itu ialah isteri Sii, Wong Muk Ngiik bersama dua anaknya serta beberapa anggota keluarga lain dan diiringi seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata mayat Sii ditemui pada 5 Februari dan dikenal pasti menerusi ujian DNA dua hari lepas sebelum diserahkan kepada warisnya semalam.

Katanya, Wong datang semula ke Surabaya pada 6 Februari sebaik sahaja mendapat tahu pihak berkuasa Indonesia telah menemui beberapa lagi mayat.

Wong dan beberapa anggota keluarganya sebelum itu berada di Surabaya selama lebih sebulan sejak hari kejadian pada 28 Disember tahun lepas untuk menunggu pencarian mayat suaminya.

"Kami berterima kasih kepada TUDM dan AirAsia yang telah banyak membantu bagi memudahkan kerja-kerja menguruskan dan menyerahkan jenazah kepada waris Sii serta membawa mayat dan waris ke Kuching di Sarawak," kata Zahrain kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir mengiringi jenazah Sii di Lanudal ialah isteri Zahrain, Datin Seri Che Mahani Ismail.

Sii, 56, seorang ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta adalah rakyat Malaysia tunggal yang berada dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Disember lepas.

Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 102 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas.

Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional (BASARNAS).

- BERNAMA
QZ8501 : Jenazah Rakyat Malaysia Diterbangkan Ke Sarawak QZ8501 : Jenazah Rakyat Malaysia Diterbangkan Ke Sarawak Reviewed by Unknown on February 11, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.