Seo Services

Tambang Bas Di Sarawak Tidak Turun

SIBU, 8 Feb (Bernama) -- Sarawak Bus Transport Companies Association (SBTCA) tidak bercadang menurunkan kadar tambang bas di Sarawak buat masa ini walaupun harga bahan api di seluruh negara telah diturunkan.

Pengerusinya Lau Kheng Seng berkata, pihaknya tidak boleh berbuat demikian kerana harga baharu diesel yang ditetapkan kerajaan masih lagi tinggi berbanding harga yang mereka nikmati sebelum ini.

Menurutnya, harga diesel sekarang ialah RM1.70 seliter adalah tanpa subsidi iaitu sama dengan harga yang ditawarkan kepada orang ramai.

"Pada September 2013, harga diesel bersubsidi yang ditawarkan kepada kita ialah RM1.48 seliter dan kemudian dinaikkan lagi kepada RM1.88 seliter pada Oktober 2014.

"Harga diesel sekarang bagi kita masih lagi mahal oleh itu kita belum lagi boleh menurunkan kadar tambang bas di Sarawak setakat ini," katanya kepada Bernama di sini.

Menurut beliau, tambang bas hanya boleh diturunkan jika harga diesel ditetapkan pada RM1.48 seliter atau lebih rendah.

Lau yang juga Naib Presiden Pan Malaysian Bus Operators Association (PMBOA) memberitahu, harga alat ganti, minyak pelincir dan gaji pemandu yang semakin meningkat juga telah mengakibatkan kos operasi secara keseluruhannya turut bertambah.

Menurut beliau, pada 2009 gaji pokok pemandu bas di Sarawak ialah RM800 sebulan tetapi sekarang ialah antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.

Harga tayar meningkat kepada RM1,200 sebiji daripada hanya RM700 sebiji manakala harga minyak pelincir naik daripada RM900 setong kepada RM1,600 setong.

Beliau berkata, kadar tambang bas yang ditawarkan oleh syarikat bas di negeri ini adalah lebih rendah berbanding kadar tambang ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak sejak 2009.

"Misalnya, kadar tambang bas ekspres bagi perjalanan Sibu-Kuching ditetapkan LPKP ialah RM60.10 tetapi harga yang ditawarkan kepada penumpang hanya RM50. Perjalanan Kuching-Miri pula kadar tambang ialah RM80 (kelas biasa) dan RM90 untuk kelas VIP berbanding RM109," jelasnya.

Lau berkata, pada tahun lepas SBTCA telah mengemukakan permohonan semakan kadar tambang baharu bas di negeri ini kepada LPKP Sarawak memandangkan kadar tambang bas perlu disemak setiap lima tahun.

"Setakat ini, kita belum terima sebarang maklum balas daripada LPKP Sarawak," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun lepas sebanyak tujuh syarikat bas telah gulung tikar berikutan tidak mampu untuk menampung kos operasi tinggi yang meningkat setiap tahun.

Menurutnya, daripada jumlah itu, tiga syarikat bas telah ditutup di Kuching serta masing-masing satu syarikat di Sibu, Mukah, Lawas dan Bintulu.

Setakat ini, SBTCA hanya mempunyai 19 ahli dengan jumlah bas kira-kira 1,000 buah di seluruh negeri ini dan 500 daripadanya merupakan bas ekspres.

-- BERNAMA
Tambang Bas Di Sarawak Tidak Turun Tambang Bas Di Sarawak Tidak Turun Reviewed by Admin on February 08, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.