Seo Services

Aksi Lantang Pembangkang Bangkit Isu ‘Permainan Galeri’


KUCHING: Aksi lantang pembangkang membangkitkan isu pada Persidangan DUN disifatkan hanya ‘permainan galeri’ kerana apa yang dinyatakan mereka adalah tidak berasas.

Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais berkata, ia dibuktikan dengan ketara apabila ADUN daripada DAP pada mulanya membangkitkan isu bagaimanapun sentiasa menarik balik tuduhan mereka.

“Pihak pembangkang khasnya ketua mereka Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) enggan mendengar penjelasan Menteri (Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua) mengenai permohonan tanah di Samarahan oleh pemaju.

“Sebaliknya beliau membuat tuduhan tidak berasas dengan menyebut nama seseorang yang tidak berada di dalam Dewan sekali gus melanggar Perintah Am oleh Dewan kerana menyebut nama seseorang yang tidak berada di Dewan untuk mempertahankan diri mereka.

“Pada kami, ketua pembangkang ini seolah-olah tidak tahu tatacara persidangan di mana mereka membangkitkan isu namun pada akhirnya menarik diri, ini sesuatu yang memalukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut disertai Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Sementara itu Len Talif berkata, apabila menteri sudah menjelaskan kenyataan tentang permohonan tanah di Kota Samarahan, Chong turut bertindak menarik balik dakwaannya.

“Ia memang aksi pembangkang di mana mereka bersuara kemudian menarik balik kenyataan mereka dan ini menggambarkan sifat sebenar pembangkang.

“Kami berharap orang ramai tidak menerima kata-kata pembangkang khasnya semasa persidangan yang hanya permainan galeri bagi mereka untuk dipertontonkan kepada awam,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Violet Yong (DAP-Pending) terhadap Sarawak Energy Berhad (SEB) Entri menyatakan, ia adalah politik tipikal DAP iaitu taktik politik murahan mereka.

“Beliau (Yong) tidak mempunyai kebertanggungjawaban dengan apa yang dinyatakan dalam Dewan kerana tidak mengesahkan dakwaan atau tuduhannya.

“Beliau lebih berminat menyerang integriti peribadi pegawai dan melemahkan pencapaian SEB daripada membela kepentingan rakyat Sarawak,” katanya. - UB
Aksi Lantang Pembangkang Bangkit Isu ‘Permainan Galeri’ Aksi Lantang Pembangkang Bangkit Isu ‘Permainan Galeri’ Reviewed by Salfian Nawawi on April 29, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.