Seo Services

Keengganan Rakyat Memberi Laluan Punca Pembinaan Jalan Raya Lewat


BETONG: Kawasan pentadbiran agak besar serta keengganan segelintir rakyat membenarkan sebahagian tanah milik mereka diguna bagi memberi laluan pembinaan jalan raya di kawasan hulu sungai adalah punca kelewatan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata atas desakan rakyat di kawasan hulu sungai di sini yang masih dahagakan pembangunan dan inginkan kemajuan, menyebabkan beliau terdesak menyatakan bahawa desakan pembangkang yang meracuni pemikiran rakyat adalah punca penduduk tidak mahu menerima pembaharuan dan kemajuan di kawasan terbabit.

“Kerajaan BN berusaha melaksanakan pembangunan sejak dahulu terutama di luar bandar sehingga pedalaman di sini tetapi pelaksanaannya tersekat kerana segelintir penduduk yang memiliki tanah tidak membenarkan kerajaan menggunakan tanah mereka untuk pembinaan jalan raya meskipun dibayar pampasan.

“Keadaan ini merugikan rakyat lain di hulu sungai dan kawasan lebih jauh dari bandar untuk menikmati pembangunan yang dirancang.

“Namun, kini rakyat sedar bahawa keengganan itu membawa kerugian kepada semua pihak.

“Kita tahu ini adalah helah pembangkang mengajak rakyat agar tidak menyokong kerajaan.

“Mereka meracuni pemikiran rakyat dan menyatakan kerajaan tidak mahu memajukan kawasan pedalaman,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Layar Ili merangkumi Ranting Lidong Atas, Lidong Tengah dan Lidong Ili Betong di SK Saka, dekat sini semalam.

Tambahnya, politik bukan saluran berbalah antara satu sama lain antara rakyat dengan kerajaan dan antara pemimpin dengan akar umbi.

“Walaupun kita berasa pernah menyingkirkan kerajaan dengan menganggap apa yang dilakukan dan dilaksanakan adalah salah atau tidak mengundi kerajaan sekalipun, kita mula sedar semua usaha kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat, sebaiknya kembalilah menyokong kerajaan.

“Jangan berasa malu atas kesilapan pernah dilakukan. Kerajaan tidak meminggirkan hak rakyatnya.

“Bersatulah demi pembangunan dan generasi akan datang yang masih memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan pembangunan,” ujarnya.

Pembangkang dikuasai pemimpin dari Tanah Semenanjung Malaysia membawa pelbagai ideologi berbeza dan tidak tahu adat resam penduduk peribumi di sini serta cuba mengalihkan pemikiran rakyat dengan mengajak mereka membenci kerajaan.

“Bangsa kita penuh dengan adat resam yang harus dihormati dan difahami, makanya kita harus menolak pembangkang yang cuba mencemar dan tidak menghormati budaya masyarakat kita di Sarawak,” katanya di hadapan ahli-ahli jawatankuasa serta penduduk daripada kira-kira 24 rumah panjang di Layar Ili.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Temenggung Nunong Dandan, Pegawai Pendidikan Betong Sapawi Mahdi, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar itu memuji kerjasama ibu bapa yang turut melibatkan diri dalam program kerajaan dan pihak sekolah membawa kecemerlangan kepada pencapaian murid-murid di sekolah terbabit.

“Kecemerlangan pendidikan anak-anak di sini setanding dengan sekolah-sekolah besar lain di sini dan mampu melahirkan generasi yang berjaya.

“Sebagaimana kita melihat kejayaan dalam UPSR tahun lalu, SK Saka berjaya menurunkan Gred Purata Sekolah (GPS) sehingga ke tahap membanggakan.

“Kita patut memberi keyakinan kepada setiap pelaksanaan aktiviti dan perangsang untuk mengecapi kejayaan menjadi keutamaan khasnya SK Saka,” katanya.

Jabu turut mengumumkan peruntukan masing-masing RM10,000 daripada beliau dan Uggah menjadikan jumlah RM20,000 kepada PIBG sekolah terbabit.

Dalam perkembangan lain, Jabu berkata kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk menaik taraf saluran paip kepada lebih besar bagi menampung keperluan rakyat di Betong.

“Usaha ini dilakukan dengan menggantikan saluran paip lama kepada lebih besar dari Simpang Layar menuju ke Betong bagi memenuhi keperluan penggunaan sehingga 30 juta liter sehari bagi rakyat di Betong.

“Kita mendengar rungutan segelintir rakyat di kawasan Lidong di sini, bekalan air bersih kadangkala tidak sampai dan tidak mencukupi untuk kegunaan penduduk,” jelasnya.

Menurut Jabu, kerajaan juga tidak lupa janji menyediakan peruntukan bagi mendirikan dua rumah panjang iaitu 44 pintu rumah Penurin dan 45 pintu rumah Nyelutong.

“Kerajaan masih berusaha memfokuskan tentang peruntukan yang dijanjikan dan kita harap penduduk bersabar menunggu kerana kewangan kerajaan bergantung kepada prosedur,” katanya. - UB
Keengganan Rakyat Memberi Laluan Punca Pembinaan Jalan Raya Lewat Keengganan Rakyat Memberi Laluan Punca Pembinaan Jalan Raya Lewat Reviewed by Salfian Nawawi on April 06, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.