KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia menjana jualan bernilai RM75.20 juta ketika menyertai Pameran Antarabangsa Alat Ganti, Aksesori dan Peralatan Automotif Indonesia 2015 (INAPA).
Antara produk yang mendapat perhatian ialah sistem suspensi automotif, sistem anti-getaran, pelincir, pemegang enjin, pemampat dan pengedap.
"INAPA berfunsi sebagai platform penilaian pasaran yang baik bagi syarikat-syarikat dalam mempromosikan komponen dan peralatan kenderaan mereka ke Indonesia," kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Ia juga membolehkan syarikat yang mengambil bahagian memahami minat dan permintaan pasaran tempatan, kata agensi penggalakkan perdagangan negara itu yang menganjurkan penyertaan 11 syarikat Malaysia pada INAPA dalam satu kenyataan hari ini.
Penyertaan kali ini adalah tahun keempat berturut-turut MATRADE menganjurkannya.
Industri automotif Indonesia masih menjadi pasaran utama di ASEAN dengan jualan kereta di Indonesia dijangka berkembang antara lima hingga 10 peratus.
INAPA adalah pameran perdagangan aksesori dan peralatan automotif terbesar di Indonesia. Edisi terkininya menampilkan 11 astaka negara iaitu China, Korea, Taiwan, India, Malaysia, Thailand, Singapura, Australia, Jepun dan Turki. Terdapat lebih 1,100 syarikat dari 35 negara menyertainya.
Pada 2014, eksport peralatan pengangkutan bernilai RM10.58 juta.
Eksport utama peralatan pengangkutan dan produk automotif ke Indonesia ialah kenderaan bermotor 1000cc-1500cc serta peralatan termasuk roda stering, turus stering dan kotak stering.
Indonesia adalah rakan dagang Malaysia yang ketujuh terbesar dan destinasi eksport kesembilan pada 2014 dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM59.48 juta dan eksport RM31.76 bilion. - BERNAMA
Syarikat Malaysia catat jualan RM75.2j di Indonesia
Reviewed by Admin
on
April 03, 2015
Rating:
No comments: