BEIJING – Warga China baru-baru ini gempar apabila dikejutkan dengan acara lumba renang melibatkan sekumpulan babi yang jinak di sebuah tasik di wilayah Hunan sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu.
Perlumbaan tersebut dilaporkan akhbar tempatan, bagi menarik kedatangan ramai pelancong mengunjungi tasik Shiyan, destinasi percutian popular di Changsha, ibu kota wilayah yang dihuni lebih 7 juta orang penduduk itu.
Malangnya, hasrat murni pihak berkuasa pelancongan wilayah tersebut dikritik penduduk tempatan, bukan kerana bimbang tasik ekologi terkenal itu dicemari najis mughallazah daripada haiwan mamalia comel berkenaan.
Sebaliknya, penduduk mendakwa, penganjuran acara itu agak zalim kerana babi tersebut dipaksa melompat terjun dari pelantar yang cukup tinggi ke dalam tasik sebelum berenang gaya bebas mengikut laluan telah ditetapkan.
Foto-foto ‘kemeriahan’ haiwan itu melakukan aksi lompatan tiruk dengan dua kaki meluncur ke depan ala adiwira fiksyen Superman malah menjadi viral di China sebagai penganiayaan terhadap hak asasi kebajikan binatang.
Namun, pihak berkuasa tetap bertegas mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan mereka tidak mendapat apa-apa bantahan pun daripada babi terbabit bahkan tiada seekor pun yang cedera ketika jatuh di atas air.
Justeru, pemerintah wilayah Hunan berpuas hati dengan acara itu sebagai selamat kepada babi waima kejohanan tersebut diiktiraf bukan perlumbaan haram ‘Myvi’ yang boleh membahayakan nyawa peserta dan penonton.
Pegawai penganjur, Shi Huang menjelaskan: “Anak babi ini menjalani latihan secara intensif dan diberi hadiah makanan bagi merangsang kemahiran haiwan berlumba dengan selamat serta bergembira menikmatinya.”
Ekoran sambutan hangat daripada peminat tempatan, acara perlumbaan sukan air berprestij julung kali itu kemungkinan besar akan menjadi kejohanan tahunan bagi mempromosikan tasik Shiyan ke seluruh dunia.
Bagaimanapun, beberapa badan hak asasi haiwan menyelar pihak berkuasa sebagai cuba mengeksploitasi babi atas nama komersial tanpa menghiraukan penderitaan fizikal dan mental yang teruk dirasai haiwan berkenaan.
“Ini jelas penderaan ke atas babi, sesiapa yang melihat aksi haiwan ini melompat pasti bersetuju mereka dilayan secara kejam dan tiada pilihan untuk menarik diri,” kata aktivis tempatan, Lok Chiang. – Agensi
Acara Babi Lumba Renang Di China Dikritik Penduduk
Reviewed by Unknown
on
May 06, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
May 06, 2015
Rating:



No comments: