Seo Services

Pelancongan Di Pantai Damai Diperkasa


KUCHING: Kewujudan Borneo Samariang Resort City bakal memberikan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Kampung Pasir Pandak dan Kampung Pasir Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dianggarkan kira-kira 400 peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan disediakan.

Menurutnya, projek yang akan bermula sekitar penghujung tahun 2015 itu dibina di kawasan seluas 500 ekar dan merangkumi pembinaan taman tema, hotel dan infrastruktur pelancongan.

“Projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan banyak peluang pekerjaan disediakan.

“Jadi saya berharap penduduk sekitar Kampung Pasir Pandak dan Kampung Pasir Panjang bersedia untuk merebut peluang pekerjaan yang ada nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di SK Pasir Pandak semalam.

Lebih menarik, kata Dr Abdul Rahman, Borneo Samariang Resort City juga akan terus memperkasakan sektor pelancongan di kawasan Pantai Damai.

“Kita boleh anggapkan Pantai Damai sebagai destinasi pelancongan yang sempurna kerana pelbagai kemudahan disediakan termasuk taman tema,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap generasi muda bermula dari pelajar sekolah perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk memudahkan mereka merebut peluang pekerjaan.

“Kita lihat banyak projek pembangunan diwujudkan, sudah pasti banyak tenaga kerja diperlukan.

“Jadi anak-anak kita perlu dibekalkan dengan pengetahuan sewajarnya untuk merebut peluang (pekerjaan) terhidang,” jelasnya.

Menurutnya lagi, 2015 merupakan tahun memantapkan bidang pendidikan di kawasan Pantai Damai dengan jalinan kerjasama pintar bersama UNIMAS dan agensi kerajaan.

“Banyak program yang kita jalankan tahun ini bagi memastikan bidang pendidikan dapat terus diperkasa,” kata Dr Abdul Rahman.

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Keterlibatan Industri dan Komuniti (UNIMAS) Prof Madya Dr Mohammad Ibrahim Safawi Mohammad Zain dan Ketua Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS Prof Madya Dr Razitasham Safii. - UB
Pelancongan Di Pantai Damai Diperkasa Pelancongan Di Pantai Damai Diperkasa Reviewed by Salfian Nawawi on May 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.