Pernahkah Anda Merasai "Umai Jeb"?

Seo Services
"Umai Jeb", belum cuba, belum tahu kelazatannya. (Kredit gambar rakan FB Sarawakiana)
Masyarakat Melanau merupakan salah satu suku kaum yang terdapat di Sarawak dan seperti masyarakat etnik lain, mereka mempunyai variasi makanan eksotik dan salah satu yang paling popular dan terkenal iaitu umai.

Umai yang diperbuat dari hirisan ikan mentah yang nipis dan masih segar dicampurgaulkan dengan beberapa bahan penambah perisa yang lain seperti bawang besar, jus limau kasturi, cili dan sedikit garam dinamakan "umai campur".

Namun, bagi komuniti Melanau Mukah pula, mereka ada satu lagi hidangan umai yang lebih istimewa dan cara penghidangannya yang tersendiri, dinamakan "umai jeb" yang bermaksud umai cecah.

Berlainan dengan umai campur, umai jeb dihidangkan dimana hirisan ikan mentah di asingkan dari sambal yang lazimnya diperbuat dengan bahan-bahan seperti kicap, limau kasturi, bawang dan cili .

Cara memakannya adalah dengan mencecah hirisan ikan tersebut ke sambal berkenaan dan ianya dianggap tidak lengkap sekiranya tidak dimakan bersama sagu.

Umai jeb paling sesuai jika dimakan dengan sagu.  (Kredit gambar rakan FB Sarawakiana)
Bagi pengemar umai jeb, kesegaran ikan memang jelas terasa sebaik sahaja ianya menyentuh lidah si pemakan di tambah dengan kombinasi pelbagai rasa (masam dan pedas) dari cecahan sambal umai jeb.

Berlainan dengan umai campur yang paling sesuai menggumakan jenis ikan Pirang, umei jeb akan lebih merasa lazat jika ianya disediakan dengan menggunakan Bawal Putih, Bawal Hitam, Tenggiri , Yu atau Terubok.

Seseorang yang biasa menyediakan hidangan umai jeb mampu menghilangkan bau hanyir ikan tersebut dengan petua yang amat mudah iaitu, ikan berkenaan haruslah segar dan hirisan ikan tersebut mesti dibersih dengan secukupnya.

Biarpun umai jeb adalah makanan yang dikenali dikalangan komuniti Melanau di Mukah, namun mungkin tidak semua kaum Melanau di daerah yang lain biasa dengan hidangan tersebut.

Kepada pembaca-pembaca yang belum merasai hidangan umai jeb ini, cuba rasai dan alaminya sendiri untuk menikmati kelainannya. Selamat mencuba. - Sarawakiana

Pernahkah Anda Merasai "Umai Jeb"? Pernahkah Anda Merasai "Umai Jeb"? Reviewed by uMieySurianie on May 21, 2015 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.