MIRI: Penganjur pertandingan Ratu Pondan diberi amaran keras supaya tidak mengadakan pertandingan itu di bandar raya Miri bersempena sambutan apa jua perayaan, termasuk hari bandar raya, yang disambut setiap tahun.
Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak akan menyokong sebarang permohonan untuk mengadakan acara sedemikian kerana memahami sensitiviti agama dan budaya setempat.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa peningkatan trend pertandingan ratu pondan di sini adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 Bandaraya Miri yang diraikan pada 20 Mei.
"MBM tidak pernah meluluskan atau memberi kebenaran bagi penganjuran acara seperti itu dan ia bukan sebahagian daripada sambutan Hari Bandaraya Miri kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lai mengulas tentang pertandingan Miss Transuniverse Miri 2015 yang dijadual diadakan hari ini di sebuah hotel di sini yang membangkitkan kemarahan kalangan masyarakat setempat.
Berdasarkan semakan dengan para pegawainya, Lai berkata, tiada lesen atau permit dikeluarkan bagi acara itu dan MBM pastinya tidak pernah terlibat secara langsung dengan penganjur pertandingan itu.
Khamis lepas, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Sarawak (MAPIM) Mohammad Fariduddeen Rosli mengeluarkan kenyataan media memohon penganjur membatalkan acara itu. - Bernama
Pertandingan Ratu Pondan Di Miri Diharamkan
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 09, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 09, 2015
Rating:

No comments: