Kuching : Pemandu pelancong termasuk di Sarawak disaran untuk memberi taklimat sepenuhnya bukan sahaja tentang maklumat kawasan yang dilawati tetapi pantang larang oleh sesetengah komuniti di kawasan itu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, ini kerana sesetengah kawasan pelancongan yang dilawati adalah menjadi tempat suci atau penghormatan bagi komuniti di kawasan berkaitan.
“Saya berharap pemandu pelancong termasuk di Sarawak ini memberi taklimat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan termasuk perkara berkaitan pantang larang sesetengah komuniti.
“Terdapat kawasan yang dilawati khasnya yang mempunyai sejarah dari segi latar belakangnya adalah tempat suci kepada komuniti setempat yang perlu dihormati semua,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Beliau ketika diminta mengulas mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah menjelaskan, setiap individu perlu menghormati kepercayaan masing-masing bukan sahaja tempat ibadat tetapi kawasan sedemikian.
Pada 5 Jun lepas iaitu kira-kira jam 7.15 pagi, berlaku gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di 16km barat laut Ranau turut menyebabkan beberapa runtuhan besar berlaku di atas puncak Gunung Kinabalu serta beberapa pendaki terkandas.
“Terdapat juga kawasan mengikut tradisi dahulu yang mempunyai sejarahnya dan dianggap sebagai kawasan suci dan perlu dihormai… begitu juga Gunung Kinabalu ini, ia adalah tempat suci kepada komuniti tempatan.
“Ia mungkin mempunyai ‘protocol mountain’, kerana bagi penduduk di sana ia mungkin ada ‘penjaganya’ sendiri,” kata Jabu yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri dalam pada itu turut memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu.
Katanya kerajaan negeri menghantar Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais menyampaikan sumbangan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman baru-baru ini.
Dalam pada itu sebelum ini ramai yang mengaitkan kejadian gempa bumi berkenaan dengan tindakan lima pelancong dari negara barat bertindak menanggalkan pakaian masing-masing apabila berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada pagi 30 Mei lepas.
Insiden tersebut membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati adat resam tempatan.
Malahan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ramai yang membuat pelbagai spekulasi mengaitkan insiden bogel itu dengan kejadian gempa bumi di Ranau. - UB
Beritahu Pelancong Pantang Larang Sesuatu Tempat
Reviewed by Unknown
on
June 10, 2015
Rating:
No comments: