KUALA LUMPUR – Malaysia mengamalkan pendekatan yang amat tegas dalam memerangi ancaman dadah kerana ia dianggap suatu ancaman terhadap keselamatan negara, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Beliau berkata langkah serius yang terkandung dalam undang-undang pencegahan dadah negara ini mencerminkan komitmen Malaysia tentang perkara itu.
Katanya hukuman tegas yang dikenakan terhadap pesalah dadah bersifat pelbagai dan bergantung pada jenis serta keseriusan kesalahan yang dilakukan, termasuk hukuman mati bagi pengedar dadah.
Berucap merasmikan mesyuarat ke-12 Jawatankuasa Pencari Fakta (AIFOCOM) Antara Parlimen ASEAN (AIPA) bagi Memerangi Ancaman Dadah di sini hari ini, beliau berkata: “Pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Malaysia kerana menggunakan andaian terhadap sesuatu fakta apabila mengheret pengedar dadah ke muka pengadilan.
“Bagaimanapun, kami tidak kisah kerana kami melihat wujudnya keperluan mengamalkan langkah itu bagi mengekang ancaman dadah,” katanya.
Abu Zahar berkata Malaysia tidak menjadi negara pengeluar narkotik berkat wujudnya undang-undang ketat mengenai pengharaman bahan itu serta regim penguatkuasaan tegas yang diamalkan kerajaan dalam memerangi dadah terlarang.
“Ketiadaan undang-undang ketat mengenai pengharamannya dan kelemahan dalam menguatkuasakan sesetengah undang-undang boleh menyumbang kepada penghasilan dadah terlarang secara berleluasa di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata untuk mempunyai masyarakat yang bebas daripada penagihan dadah, anggotanya perlu melibatkan diri dalam usaha memerangi ancaman dadah.
Katanya penekanan patut diberi terhadap usaha mendidik anggota masyarakat tentang kesan buruk daripada penyalahgunaan dadah dan pentingnya mereka menjauhi perbuatan buruk itu.
Abu Zahar berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk memahami pola serta keseriusan ancaman dadah kerana strategi yang dianggap berkesan hari ini, mungkin tidak lagi relevan esok.
Mesyuarat dari 7 hingga 11 Jun itu berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini. – BERNAMA
Malaysia Sentiasa Tegas Dalam Memerangi Ancaman Dadah
Reviewed by uMieySurianie
on
June 08, 2015
Rating:
No comments: