Seo Services

Pan Borneo Jadi Lebuh Raya Super


KUCHING: Lebuh Raya Pan Borneo akan dibina mengikut piawaian antarabangsa iaitu lebuh raya super untuk keselesaan serta manfaat rakyat Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, #sarawakfornajib, di Stadium Perpaduan di sini semalam.

Menurutnya beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah agar memastikan tidak banyak lampu isyarat dibina dan tiada tol akan dikenakan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo setanding Lebuh Raya Utara-Selatan di Semenanjung Malaysia.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) memberitahu saya, Lebuh Raya Pan Borneo, mesti bertaraf super kerana rakyat Sarawak juga mahu merasakan keselesaan menggunakan lebuh raya super seperti rakyat di Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu kita akan menukar lampu isyarat dengan alternatif seperti jalan pintasan dan jalan raya di bawah jalan raya lain. Tidak mengapa jika peruntukan lebih besar diperlukan,” jelasnya.

Najib berkata beliau telah meluluskan kertas kerja itu bukan kerana Barisan Nasional (BN) menyokong penuh perjuangannya tetapi kerana beliau mahu rakyat Sarawak maju dan berpeluang menikmati lebuh raya bertaraf dunia.

Katanya apabila lebuh raya itu siap nanti, ia akan berperanan sebagai ejen perubahan untuk Sarawak dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Menurutnya Lebuh Raya Pan Borneo adalah projek yang amat bernilai serta bermakna kepada rakyat Sarawak kerana ia menamatkan penantian selama 50
tahun.

Mengenai permintaan Sarawak agar kadar royalti minyak dan gas ditambah kepada 20 peratus daripada lima peratus ketika ini, Najib berkata: “Saya tidak menolak (permintaan ini) tetapi saya mesti melakukan semakan terperinci.

“Jika boleh, saya mahu memberikannya sebagai satu pakej kepada Sarawak dengan itu pembangunan dalam industri minyak dan gas akan berkembang lebih pesat sekali gus memakmurkan rakyat,” jelasnya.

Kos asal pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ialah RM13 bilion namun disebabkan penambahan ciri-ciri lebuh raya super menyebabkan kos pembinaan dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM15 bilion dan kerja-kerja pembinaannya sudah dimulakan. - UB


Pan Borneo Jadi Lebuh Raya Super Pan Borneo Jadi Lebuh Raya Super Reviewed by uMieySurianie on June 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.