Seo Services

Undang-undang Sukar Pendaftaran Perniagaan Di Sarawak Perlu Dipinda


KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengesyorkan kepada kerajaan negeri Sarawak supaya meminda Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan Sarawak 1958 dan Ordinan Bangunan Sarawak 1994 kerana ia menyekat pendaftaran perniagaan yang beroperasi di rumah.

Beliau berkata polisi dan peruntukan sedia ada di dalam kedua-dua ordinan terbabit dilihat tidak seiring dan tidak konsisten dengan hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai rakyat di negeri ini berkecimpung dalam perniagaan dan keusahawanan.

Menurut Nancy, di bawah Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Perdagangan Sarawak 1958 mereka yang hendak berniaga perlu memohon lesen untuk membolehkan premis kediaman mereka dijadikan sebagai premis perniagaan dengan syarat premis yang digunakan untuk berniaga didirikan dan disambung ke rumah kediaman.

"Untuk tujuan itu usahawan perlu memohon kebenaran di bawah Ordinan Bangunan 1994 dan atas sebab itu saya berpendapat bahawa tindakan harus dilakukan termasuklah meminda peraturan atau akta sedia ada," katanya pada Majlis Pelancaran Portal Sesawang E-Saranita di sini hari ini.

Katanya, proses ini dilihat agak rumit dan menyukarkan pengusaha kecil-kecilan yang kebanyakannya kurang berkemampuan.

Selain itu, katanya ia turut menyukarkan mereka yang tinggal di kawasan kampung kerana kebanyakan mereka hanya mahu mencari pendapatan tambahan dan syarat-syarat yang diperuntukkan di bawah ordinan atau undang-undang kecil sedia ada agak membebankan.

Menurut Nancy ini sudah tentu tidak adil bagi golongan usahawan kecil-kecilan kerana mereka berdepan dengan risiko diserbu pihak berkuasa tempatan dan barangan jualan mereka boleh disita atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Peniaga) 2005 Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

"Individu yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM1,000 bagi kesalahan pertama dan didenda RM3,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahanan kedua dan seterusnya tambahan RM100 setiap hari jika kesalahan tersebut diteruskan," katanya.

Beliau berkata daripada 90,000 usahawan Bumiputera di Sarawak, hanya 43,000 orang sahaja berdaftar dengan agensi kerajaan termasuk dengan SME Corp sejak 2007 hingga 2013.

"Ini disebabkan kebanyakan mereka tidak mendaftar kerana beroperasi di rumah," tambahnya.

Beliau berkata undang-undang yang lebih fleksibel mampu untuk menggalak lebih ramai usahawan yang berjaya di Sarawak, lebih-lebih lagi golongan wanita, apatah lagi Sarawak kaya dengan pelbagai kebudayaan daripada 40 subetnik dan ini menjadi nilai tambah untuk mereka berkreatif menggunakan sumber yang ada bagi menghasilkan produk unik dan tersendiri serta mempunyai nilai keboleh pasaran.- BERNAMA
Undang-undang Sukar Pendaftaran Perniagaan Di Sarawak Perlu Dipinda Undang-undang Sukar Pendaftaran Perniagaan Di Sarawak Perlu Dipinda Reviewed by Unknown on June 08, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.