Seo Services

Cubaan Bawa Sarawak Keluar Malaysia Akan Ditentang Habis-habisan



KUCHING: Setiap usaha untuk membawa Sarawak keluar dari Malaysia yang dilakukan oleh sebarang pihak akan ditentang habis-habisan, tegas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol.

Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah menegas selepas Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, Sarawak akan kekal menjadi sebahagian daripada Malaysia dan ia akan kekal selama-lamanya.

Abdullah yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBC) Sarawak menegaskan secara peribadi beliau menyokong beberapa permintaan dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk gerakan Sarawak For Sarawakian (S4S) seperti keperluan pembangunan dan kuasa autonomi.

“Ketua Menteri telah memberi kenyataan sangat penting. Ini kerana sekali kita (Sarawak) menyertai Malaysia, kita sebahagian daripada Malaysia hari ini, dan kita akan menjadi Malaysia selama-lamanya.

“Saya sangat menyokong kenyataan ketua menteri itu. Malah saya sebagai pengerusi BNBC Sarawak dan ahli menyokong kenyataan ketua menteri mengatakan kita sebenarnya berkongsi perkara dibangkit S4S seperti keperluan pembangunan dan kuasa autonomi tetapi bukannya usaha untuk membawa Sarawak keluar dari Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperingati Sejarah Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 hingga 15 September 1963 di Dataran Perbarisan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Majlis penuh bermakna itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem juga isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menambah BNBC Sarawak dan kerajaan negeri amnya akan menyokong permintaan-permintaan yang memberi manfaat bersama kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak bermusuh dengan sesiapa termasuk S4S, ada juga perkara yang dibangkitkan mereka sah. Adalah hipokrit untuk saya katakan perkara mereka bangkitkan itu tidak betul tetapi kalau ada sentimen ke arah mengeluarkan Sarawak dari Malaysia, itu akan kami (BNBC) tentang habis-habisan.

“Ini kerana apapun permintaan Sarawak dari Kerajaan Persekutuan selepas ini, ia harus dalam suasana tidak memecah-belahkan persefahaman antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat,” tegasnya.

Ditanya mengenai perhimpunan dan perbarisan meraikan kemerdekaan Sarawak 22 Julai dianjurkan pergerakan S4S di padang Song Kheng Hai (Padungan), dekat sini Abdullah berkata perjuangan mereka pada tahap sah tetapi persoalannya, adakah gerakan ini serius dan benar-benar memahami sejarah.

Beliau memberitahu ucapan pengerusi majlis perhimpunan dan perbarisan S4S hanya menekankan kepada permohonan peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Pusat tanpa menyentuh sejarah kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia.

“Saya tidak dengar pun dalam ucapan atau aktiviti mereka yang terlibat dalam perhimpunan S4S di sebelah sana (Padang Song Keng Hai) menghargai orang yang telah memerdekakan kita…tidak ada.

“Saya tidak pasti berapa ramai daripada mereka masih ingat atau tahu nama gabenor Sarawak pertama. Percayalah, kalau anda tanya saya sekarang, saya sendiri pun lupa kalau tidak diperingat menerusi persembahan dan ucapan Ketua Menteri tadi,” ujarnya.

Abdullah menambah, memahami sejarah sangat penting begitu juga aspek patriotism dan setiap pemimpin harus tahu sejarah kemerdekaan Sarawak khasnya kerana ia adalah landasan untuk Sarawak melangkah maju ke hadapan seperti sekarang. - UB


Cubaan Bawa Sarawak Keluar Malaysia Akan Ditentang Habis-habisan Cubaan Bawa Sarawak Keluar Malaysia Akan Ditentang Habis-habisan Reviewed by uMieySurianie on July 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.