Seo Services

Jabatan Perhutanan Sarawak Adakan 240 Serbuan, Kemuka 122 Kertas Siasatan Tahun Ini


KUCHING: Jabatan Perhutanan Sarawak telah melakukan 240 serbuan di kawasan hutan dan syarikat pembalakan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti haram sehingga Julai tahun ini.

Bagi tempoh sama, jabatan itu juga sudah mengemukakan 122 kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negeri untuk tindakan undang-undang.

Pengarahnya Sapuan Ahmad berkata usaha jabatan membanteras aktiviti pembalakan haram menjadi lebih mudah berikutan pengenalan undang-undang baharu oleh kerajaan negeri.

Katanya mengikut pindaan ordinan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri beberapa bulan lalu, ia kini menjadi tanggungjawab pembalak untuk membuktikan balak yang dimiliki mereka diperolehi secara sah.

"Sebelum ini, jabatan perlu melakukan semua seperti menjejak tempat asal balak itu dan sebagainya, dan akhirnya kami yang akan kalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel mengenai kayu balak Sarawak di sini, Khamis.

Bengkel dua hari anjuran jabatan itu bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia), Ecology and People Consult (NEPCon) adalah untuk memberi gambaran mengenai trend global produk balak dan pensijilan pengurusan hutan.

Terdahulu dalam ucapannya, Sapuan meminta semua Unit Pengurusan Hutan (FMUS) untuk tidak hanya menumpukan kepada usaha kelestarian hutan tetapi turut menyediakan suasana hutan yang sihat untuk orang ramai.

"Kami mahu semua FMUS memastikan amalan pembalakan dilakukan secara bertanggungjawab, menghentikan amalan pembalakan yang salah dan kami juga tidak mahu balak atau produk balak yang diperolehi dengan cara tidak bertanggungjawab memasuki pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

Menurutnya bengkel itu tepat pada masanya dalam usaha Sarawak memperbaiki industri perhutanannya, dengan satu daripada sasarannya untuk semua FMUS dan syarikat pembalakan yang besar untuk komited dalam pengurusan hutan dan mendapat pensijilan menjelang 2017.

Katanya pada 2013, 6.8 juta meter padu balak dan produk balak dari Sarawak dieksport, melibatkan pendapatan kira-kira RM7.2 bilion manakala tahun lepas 6.6 juta meter padu dieksport dengan pendapatan sebanyak RM7.3 bilion.- BERNAMA
Jabatan Perhutanan Sarawak Adakan 240 Serbuan, Kemuka 122 Kertas Siasatan Tahun Ini Jabatan Perhutanan Sarawak Adakan 240 Serbuan, Kemuka 122 Kertas Siasatan Tahun Ini Reviewed by Unknown on July 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.