Seo Services

Portfolio Sumber Asli Dan Alam Sekitar Amat Penting, Terutama Bagi Sarawak


KUCHING: Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan pelantikannya sebagai menteri penuh bagi portfolio sumber asli dan alam sekitar amat penting, terutama dalam konteks Sarawak.

Wan Junaidi ketika dihubungi BH turut menyifatkan tugas barunya itu amat berat dan menjanjikan cabaran yang tersendiri, lebih-lebih lagi skop penugasan sama sekali berbeza dengan bidang kepakarannya, terutama dalam bidang perundangan.

Namun, beliau menghargai pelantikannya itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi, malah turut menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat dengan cemerlang seperti dilakukannya di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Jika saya berjaya mengatasi segala cabaran di KDN, tidak mustahil saya boleh mendepani cabaran di kementerian baharu ini walaupun bidang penugasannya sama sekali berbeza dengan kemahiran dan kepakaran saya (dalam bidang undang-undang).

"Ia satu kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri untuk saya mengetuai kementerian baharu ini, terutama dalam melaksanakan usaha pengurusan secara lestari sumber asli kita, selain mengendalikan pelbagai isu alam sekitar membabitkan negara ini," katanya.

Wan Junaidi adalah menteri kedua dari Sarawak yang dilantik bagi portfolio itu selepas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ketika menyertai Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi pada.2004.

Pada masa yang masa, Wan Junaidi menyatakan perlantikan itu sebagai kemuncak kerjayanya selepas sekian lama berkecimpung di arena politik, termasuk pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

"Portfolio Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga antara jawatan terkanan dalam Kabinet, malah dalam rekod juga menunjukkan Presiden MIC sendiri pernah memegang portfolio itu dan perkembangan itu cukup membanggakan," katanya.

Dalam konteks kepentingan Sarawak, bekas pegawai polis ini turut menganggap pelantikannya boleh membantu 'perjuangan' kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Adenan bagi mendapatkan kenaikan royalti hasil minyak dan gas Bumi Kenyalang.

"Walaupun PETRONAS di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, namun bila ada wakil kita (Sarawak) dalam kementerian membabitkan sumber asli ini, dapatlah 'suara' kita didengari oleh Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kelancaran proses tuntutan itu.

"Kita perlu ingat proses tuntutan ini membabitkan kepentingan jangka panjang bagi Sarawak, terutama masa depan rakyatnya, sekaligus membantu memperkasakan perkembangan industri gas dan minyak negeri," katanya.

Beliau turut menyifatkan perlantikannya itu bersesuaian dengan kedudukan Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber asli di negara ini. - BH
Portfolio Sumber Asli Dan Alam Sekitar Amat Penting, Terutama Bagi Sarawak Portfolio Sumber Asli Dan Alam Sekitar Amat Penting, Terutama Bagi Sarawak Reviewed by Salfian Nawawi on July 28, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.