KUCHING: Sarawak bakal menggunakan biodiesel sawit B7 di semua stesen minyak apabila Loji Biodiesel iaitu Terminal Minyak Bebas (IOT) Kuching beroperasi sepenuhnya menjelang September depan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, loji biodiesel IOT Kuching itu merupakan kemudahan pengadunan biodiesel kelima dan loji biodiesel kedua seumpamanya di Sarawak.
“Hari ini (semalam) saya melawat loji pengadunan ini bagi memastikan kemudahan bersedia untuk pelaksanaan sepenuhnya program biodiesel di Sarawak.
“Loji baharu ini menelan kos RM12 juta dan sehingga kini beroperasi hanya 50 peratus. Di Sarawak kita mempunyai lima kemudahan pengadunan biodiesel iaitu di Bintulu, dua di Miri, Tanjung Manis serta Kuching (IOT).
“Kita percaya dengan pelaksanaan di Kuching, Sarawak akan menggunakan B7 sepenuhnya menjelang September,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Loji Pengadunan di IOT Kuching di Jalan Bako di ini, semalam.
Tambah Uggah, B7, iaitu adunan tujuh peratus biodiesel sawit dengan 93 peratus diesel petroleum yang diperkenalkan pada November 2014 di Semenanjung Malaysia juga sudah diperkenal dan berada di stesen minyak di Sarawak.
“Bermakna tujuh peratus daripada minyak diesel dijual di stesen minyak kita adalah dari minyak sawit. Apabila kita melaksana program di seluruh negara, ia akan mengguna 700 tan minyak sawit mentah.
“Ini satu langkah meningkatkan kegunaan sawit dalam negeri. Dengan cara ini kita mengharap serba sedikit untuk menstabilkan harga minyak,” tegasnya.
Uggah menjelaskan, diharap menjelang Oktober 2015, negara melangkah ke penggunaan B10 namun ia masih dalam proses perundingan bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan.
“Buat masa ini, kita masih dalam proses perundingan dan menunggu maklum balas sepenuhnya daripada pelbagai pihak berkepentingan mengenai rancangan pelaksanaan B10 menjelang Oktober tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja mendapat maklum balas sepenuhnya, penilaian dibuat untuk pelaksanaan B10.
Katanya, apabila formula itu diguna, sekurang-kurangnya negara akan mengguna satu juta tan minyak sawit mentah untuk biodiesel bagi kegunaan domestik.
Malahan katanya ia membolehkan negara mengguna B7 ke B10 atau kembali ke B7 bergantung kepada keadaan minyak sawit di seluruh dunia.
Sarawak setakat ini mempunyai lima kemudahan pengadunan biodiesel sementara dua loji pengadunan iaitu Bintulu dan IOT Kuching.
Sehingga kini juga Sarawak dianggarkan mengeluarakn hasil 71,000 metrik tan setahun bagi B7 dengan 175 buah stesen minyak terlibat menjual diesel berkenaan.
Secara keseluruhannya 3,198 stesen minyak di seluruh negara menjual diesel B7 di mana 2,832 buah di Semenanjung, 191 buah stesen minyak di Sabah dan 175 buah stesen di Sarawak. - UB
Sarawak Guna Biodiesel Sawit B7 Menjelang Sept
Reviewed by Salfian Nawawi
on
July 04, 2015
Rating:

No comments: