KUALA LUMPUR: Perkembangan baharu jenayah rentas sempadan seperti yang dikenal pasti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) harus ditangani secara teliti oleh ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sebab itu jugalah Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan yang dicadangkan Malaysia harus diguna pakai dan ditandatangani 10 anggota ASEAN.
"Deklarasi itu antara lain menumpukan isu yang harus dipandang berat para Menteri, seperti kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan termasuk mencari formula baharu bagi Pelan Tindakan ASEAN untuk Memerangi Jenayah Rentas Sempadan sejak kali terakhir ia dirangka pada 2002.
"Semua negara anggota ASEAN menandatangani Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC), jadi ia memerlukan kesediaan di pihak kita untuk menyiapkan diri menghadapi perubahan yang akan berlaku di masa hadapan membabitkan kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-10 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Ekstrem, di sini hari ini.
Menurut Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah, corak baharu jenayah rentas sempadan antaranya termasuk perdagangan haram membabitkan warisan semula jadi dan budaya, hidupan liar, produk berasaskan kayu, sisa elektrik dan elektronik atau e-sisa, bahan yang mengurangkan lapisan ozon dan barangan palsu pengguna.
Sementara itu, jenayah rentas sempadan tradisi pula terdiri daripada pemerdagangan manusia, senjata serta dadah, jenayah siber, lanun, jenayah berkaitan ekonomi dan pengubahan wang haram.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jenayah rentas sempadan memberi implikasi besar kepada kestabilan, keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam sesebuah negara.
"Jenayah rentas sempadan adalah satu fenomena yang pada dasarnya melibatkan pergerakan manusia merentasi sempadan, transaksi kewangan rentas sempadan termasuk pembabitan sindiket jenayah antarabangsa.
"Ia memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat sehinggakan usaha menangani jenayah terancang dan rentas sempadan adalah kebimbangan utama dalam keselamatan pada abad ke-21," tambah Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid turut menjelaskan ASEAN telah lama sedar ancaman seperti itu dan mengambil langkah segera termasuk usaha bersepadu menangani masalah berkenaan sejak awal tahun 70an.
Usaha itu semakin penting sekarang ketika 10 anggotanya bersedia merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.
"Kewujudan Komuniti ASEAN pada akhir tahun ini memerlukan kita menjadi lebih berdaya tahan, bersedia sepenuhnya, mengambil pendekatan menyeluruh serta langkah komprehensif selain menggunakan kemajuan teknologi untuk menangani ancaman jenayah rentas sempadan sedia ada, secara lebih berkesan.
"Kita harus ingat AMMTC adalah komponen penting Jawatankuasa Keselamatan Politik ASEAN (APSC) yang menyokong kewujudan Komuniti ASEAN selain Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN," katanya kepada delegasi yang hadir.
Di akhir ucapannya, Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan undang-undang dan perundangan yang lebih ketat tidak cukup untuk menangani masalah berkenaan dan kerana itu perkongsian strategik dan program membabitkan orang awam dan sektor swasta amat diperlukan.
Mesyuarat dwitahunan AMMTC empat hari itu yang memasuki hari kedua hari ini akan menyaksikan penerimaan pemimpin ASEAN terhadap Deklarasi Kuala Lumpur dalam Menangani Jenayah Merentas Sempadan serta Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pergerakan Tidak Teratur Manusia di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
Asean Perlu Tangani Jenayah Baharu Rentas Sempadan - Ahmad Zahid
Reviewed by Unknown
on
September 29, 2015
Rating:
![Asean Perlu Tangani Jenayah Baharu Rentas Sempadan - Ahmad Zahid](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWtM2zzZ8r1IEsH3zH1Ca3hvaFKAduyatiT1I-hrxrqxQTdiDv-iXS9GrbvYgGQ_7Azi5ZdMl6urXJaRylZq8ryYeio5uZsS0gLGLsjB2Hu3OFArpZs6iVLcy6g_KkcPrb7XzeECXq15s/s72-c/image+%25281%2529.jpg)
No comments: