KUCHING: Sebanyak 25 penerbangan dari jam 5.30 pagi hingga 6 petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dibatalkan sekali gus menjejaskan 2,932 penumpang ekoran jerebu di bandar raya ini.
Pengurus Kanan Malaysia Airport LTAK Mohd Nadzim Hashim berkata, pembatalan penerbangan itu melibatkan 11 penerbangan masuk dan 14 penerbangan keluar membabitkan 22 penerbangan AirAsia dan tiga MASWings.
“Sebanyak 25 penerbangan dibatalkan (semalam) melibatkan 11 penerbangan tiba dan 14 penerbangan yang hendak berlepas sekali gus menjelaskan 2,932 penumpang yang terdiri daripada 1,208 penumpang yang hendak tiba di sini dan selebihnya yang hendak berlepas dari Kuching.
“Pembatalan penerbangan di LTAK membabitkan 22 penerbangan Air Asia dan tiga MASWings,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.
Malah Nadzim menambah, setakat jam 6 petang sebanyak 15 penerbangan ditangguh iaitu tujuh penerbangan masuk dan lapan penerbangan keluar membabitkan 1,039 penumpang MAS (Malaysia Airline).
“Sementara itu, satu penerbangan AirAsia yang hendak berlepas ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada jam 11.55 pagi (semalam) ditangguh ke jam 4.15 petang,” tambahya.
Pada masa sama beliau memberitahu,jarak penglihatan bagi laluan penerbangan di LTAK setakat jam 3 petang semalam sekitar 2,000 meter.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua penumpang memeriksa jadual penerbangan masing-masing sebelum datang ke lapangan terbang.
Terdahulu, Nadzim berkata LTAK terpaksa ditutup selama dua jam dari jam 7.10 pagi hingga 9.10 pagi ekoran jarak penglihatan sekitar 300 meter yang berbahaya untuk penerbangan masuk dan keluar.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching dan Kota Samarahan masih di bawah tahap tidak sihat iaitu sekitar 116 dan 118 setakat jam 4 petang semalam. - UB
25 Penerbangan Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Dibatal
Reviewed by uMieySurianie
on
September 29, 2015
Rating:
No comments: