Seo Services

Cuaca Jerebu Dijangka Berlarutan Hingga Awal Bulan Hadapan


KUCHING: Cuaca berjerebu di Semenanjung, terutama di Johor dijangka berlarutan sehingga awal bulan depan berikutan masalah kebakaran hutan yang semakin serius di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, pihak berkuasa negara jiran itu sedaya upaya menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk mengerahkan anggota tentera bagi memadamkan kebakaran, namun belum ada sebarang perkembangan positif.

"Saya jangka pemasalahan ini akan berlarutan untuk tempoh satu atau dua minggu lagi, namun kita mengharapkan perubahan arah laluan angin seperti diramalkan berlaku mampu menurunkan rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri yang teruk terjejas ke paras normal," katanya lagi.

"Sejak beberapa hari lalu, angin bertiup ke arah selatan (Semenanjung) menyebabkan beberapa kawasan di Johor dilanda jerebu, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan melepasi paras tidak sihat."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem merasmikan Program Ibadah Korban Perdana Peringkat Negeri di Masjid Darul Ikhwan, Kampung Muara Tebas, di sini sebentar tadi.

"Saya juga telah dimaklumkan keadaan di negara jiran (Singapura) turut kritikal hari ini apabila IPU di sana mencatatkan bacaan 200 iaitu paras sangat tidak sihat hingga memaksa sekolah ditutup atas faktor kesihatan," katanya lagi.

Junaidi, yang juga merupakan Ahli Parlimen Santubong menambah, walaupun berdepan pelbagai kesukaran, pihak berkuasa Indonesia masih belum bersedia memohon bantuan dari beberapa negara jiran yang terjejas, khususnya Malaysia dan Indonesia untuk operasi pemadaman kebakaran hutan itu.

"Malaysia sedia menghulurkan bantuan, namun belum ada sebarang permohonan rasmi dari mereka setakat ini. Kita yakin pihak berkuasa negara itu mampu mengendalikan situasi sukar berkenaan," katanya.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan sehingga jam 2 petang semalam, lapan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Pasir Gudang yang mencapai 182, diikuti Larkin Lama (177), Balok Baru, Kuantan (155), Kemanan (151), Indera Mahkota, Kuantan (131), Kota Tinggi, Johor (124), Paka, Terengganu (120) dan Jerantut, Pahang (102).

Sementara itu, 28 kawasan lagi mencatat bacaan IPU sederhana iaitu melebihi 50 dengan yang tertinggi dicatatkan di Sri Aman, Sarawak iaitu 93.

Terdahulu, dalam majlis tersebut Junaidi mengagihkan daging Qurban 10 ekor lembu; enam ekor disumbang oleh Ketua Menteri dan empat ekor dari beliau sendiri kepada 15 buah kampung di kawasan berkenaan. 
Cuaca Jerebu Dijangka Berlarutan Hingga Awal Bulan Hadapan Cuaca Jerebu Dijangka Berlarutan Hingga Awal Bulan Hadapan Reviewed by uMieySurianie on September 25, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.