KUCHING: Belum seminggu mengalami keadaan cuaca yang baik, jerebu kembali melanda Sarawak dengan tiga bahagian mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 5 petang semalam.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bahagian Kuching mencatat bacaan IPU 127 yang meningkat dengan ketara berbanding bacaan IPU 120 pada jam 4 petang dan sekali gus menyaksikan IPU tertinggi di seluruh negara.
Peningkatan bacaan tidak sihat turut dicatat di bahagian Samarahan iaitu 123 pada jam 5 petang yang turut mengalami peningkatan berbanding IPU 118 pada jam 4 petang dan hanya IPU 90 setakat jam 12 tengah hari.
Diikuti Sri Aman merupakan bahagian ketiga turut mengalami keadaan jerebu paling tinggi iaitu tahap bacaan 121 (jam 5 petang) berbanding 120 pada jam 4 petang.
Manakala tujuh bahagian lain di negeri ini masih berada pada tahap baik dan sederhana setakat jam 5 petang, iaitu Sarikei (88), Sibu (77), Bintulu (66), Kapit (57), Miri (47), ILP Miri (43) dan Limbang (41).
Bacaan IPU dikategorikan baik untuk 0-50, sederhana (51-100), tidak sihat (100-200), sangat tidak sihat (200-300) dan berbahaya (lebih 300).
Sementara itu disebabkan keadaan cuaca yang semakin berkabus, dua penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) setakat jam 3 petang, semalam.
Pengurus Kanan LTAB Kuching Mohd Nadzim Hashim berkata, dua penerbangan dibatalkan itu adalah masing-masing satu pelepasan dan satu ketibaan.
“Ia membabitkan sejumlah 28 penumpang yang melibatkan sektor Mukah-Kuching-Mukah.
“Sementara sejumlah 13 penerbangan pula mengalami kelewatan dengan lima penerbangan yang berlepas dan lapan untuk ketibaan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa kelewatan penerbangan itu membabitkan sejumlah 1,205 penumpang yang terdiri daripada 481 penumpang bagi ketibaan dan 724 penumpang untuk pelepasan.
Bagaimanapun setakat jam 3 petang, semalam jarak penglihatan semakin pulih iaitu 1,000 meter berbanding 800 meter pada jam 12 tengah hari.
Beliau berkata semua penumpang yang menggunakan penerbangan melalui LTAK dinasihati supaya menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.
Menurut kenyataan akhbar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar semalam, keadaan itu masih berlaku disebabkan jerebu merentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 21 September 2015, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 18, mengesan sebanyak 474 titik panas di Kalimantan Indonesia dan sebanyak 26 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia.
Sementara itu sebanyak tiga titik panas dikesan dalam negara masing-masing di negeri Johor, Terengganu dan Sabah. - UB
Jerebu Datang Lagi, Tiga Bahagian Catat IPU Tidak Sihat
Reviewed by uMieySurianie
on
September 23, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
September 23, 2015
Rating:

No comments: