KUCHING: Empat penerbangan, masing-masing dua pelepasan dan dua ketibaan mengalami kelewatan akibat jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching pagi ini.
Menurut Pengurus Kanan LTAB Kuching, Mohd Nadzim Hashim, ia berikutan jarak ketampakan rendah di lapangan terbang itu pagi ini iaitu 800 meter sahaja.
Beliau berkata, kelewatan itu membabitkan sektor pelepasan Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Sibu serta sektor ketibaan Kuala Lumpur-Kuching dan Sibu-Kuching.
"Kelewatan ini membabitkan 333 penumpang iaitu 144 bagi ketibaan dan 189 untuk pelepasan," katanya ketika dihubungi. Mohd Nadzim berkata, kesan jerebu turut mengakibatkan penerbangan MH2542 Kuala Lumpur-Kuching dengan 65 penumpang dilencongkan ke Sibu.
Sementara itu, Mohd Nadzim berkata dua penerbangan, satu ketibaan dan satu pelepasan membabitkan sektor Kuching-Pontianak dan Pontianak-Kuching dibatalkan sejak lima hari lalu.
"Sektor ini dibatalkan sehingga diberitahu kelak. Tiada penumpang terbabit kerana semua penumpang dimaklumkan lebih awal," katanya.
Setakat 10 pagi tadi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatatkan bacaan tidak sihat pada 141.
IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300). -BERNAMA
Jerebu: Empat Penerbangan Lewat, Satu Dilencongkan Di Sarawak
Reviewed by uMieySurianie
on
September 27, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
September 27, 2015
Rating:

No comments: