SIBU: Pengusaha makanan di Sibu digesa memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menambah pendapatan sepanjang tiga hari penganjuran sambutan Hari Jadi Ke-79 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bermula esok.
Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka Dr Annuar Rapaee berkata Sibu selaku tuan rumah majlis sambutan itu pasti akan menerima kunjungan ramai orang dari luar bandaraya ini.
"Diharapkan pengusaha pulut panggang, kuih bungkol, buah dabai, rojak kuah, satay dan mee kampua di Sibu dapat menyediakan bekalan yang tinggi semasa Sambutan Harijadi TYT pada 11 hingga 13 Sept ini.
"Rebutlah peluang untuk menambah jualan semasa sambutan itu," katanya dalam laman Facebook DUN Nangka.
Beliau juga menasihati pengusaha agar menjaga kualiti makanan yang dijual di samping mempelbagaikan jualan mereka.
Annuar berkata kawasan yang boleh dikunjungi untuk menikmati makanan itu antaranya Bandong Walk di Jalan Bandung; Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor di Jalan Jasmin, Kampung Bandong; dan Arked Mara Sibu di Jalan Mission.
Sementara itu, kebanyakan bilik hotel bertaraf bintang di bandaraya ini sudah ditempah untuk sambutan itu.
Presiden Persatuan Hotel Wilayah Tengah Sarawak Johnny Wong dilaporkan berkata, penginapan yang mungkin masih ada ialah di hotel-hotel yang kecil atau rumah tumpangan di luar pusat bandar.
Pelbagai acara disusun bersempena sambutan itu, antaranya konsert komuniti pada 8 malam esok, pertunjukan bunga api di Dataran Bandar Sibu juga pada esok dan perarakan kapal di Sungai Rejang dan Igan pada hari hari kedua sambutan.
Selain itu, pameran mengenai Yang Dipertua Negeri dan Astana Negeri juga diadakan di Dewan Kompleks Islam di Jalan Awang Ramli Amit sepanjang sambutan tiga hari itu. - BERNAMA
Pengusaha Makanan Sibu Digesa Rebut Peluang
Reviewed by uMieySurianie
on
September 10, 2015
Rating:

No comments: