KUCHING: Festival Tanglung 2015 akan diadakan buat julung kalinya di Taman Sahabat di sini pada Jumaat ini, 25 September dengan tema ‘Unity-The Way Forward’.
Anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Persekutuan Persatuan Cina Kuching dan Samarahan, festival ini akan bermula dari jam 6 petang.
Pada sidang media di MBKS semalam, Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan berkata festival ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Seperti penganjuran sebelumnya, festival ini bertujuan mempromosikan budaya ini kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Pada masa yang sama, festival ini juga diharap dapat mengeratkan lagi perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini termasuk di kalangan pengunjung dari luar.
“Kita menjangkakan sekitar 2,000 atau lebih pengunjung akan hadir memeriahkan festival ini yang mana jika di China ia merupakan acara kedua terbesar bagi rakyat di negara padat penduduk itu.
“Pada festival ini nanti, sebanyak 3,000 tanglung akan diagihkan secara percuma kepada orang ramai dan lebih 1,000 kek bulan halal untuk dinikmati oleh para pengunjung,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai festival itu nanti, antara aktiviti utama yang akan diadakan ialah pertandingan membuat tanglung terbahagi kepada empat kategori iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah rendah, sekolah menengah dan individu/kumpulan terbuka.
Pemenang bagi kategori NGO akan menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil manakala pemenang bagi kategori rendah, menengah dan individu/kumpulan terbuka masing-masing akan menerima wang tunai RM500, RM700 dan RM500 juga berserta sijil.
Turut akan diadakan ialah pertandingan pertunjukan tanglung bagi kanak-kanak (umur empat hingga enam tahun), sekolah rendah, sekoleh menengah dan kategori terbuka di pekarangan Taman Sahabat.
Pemenang bagi kategori bagi kanak-kanak (umur empat hingga enam tahun) dan sekolah rendah masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM800 berserta sijil.
Manakala pemenang kategori sekolah menengah dan terbuka masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM2,000 berserta sijil.
Bagi mengelak kesesakan lalu lintas, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas percuma dari jam 6 petang hingga 11 malam dari Pasar Lama Tabuan Jaya, Hentian Bas Pasar Stutong dan Hentian Bas KPJ menuju ke Taman Sahabat. - UB
TPM Meriahkan Festival Tanglung 2015 Di Taman Sahabat, Jumaat Ini
Reviewed by uMieySurianie
on
September 22, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
September 22, 2015
Rating:

No comments: