Seo Services

Adenan Teruskan Dasar Pembangunan Ekonomi Kukuh


MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberitahu bahawa beliau akan meneruskan dasar-dasar pembangunan ekonomi yang kukuh, yang telah ditetapkan oleh Ketua Menteri terdahulu, khususnya Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi mengubah Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau juga mahu memastikan Sarawak kekal maju dengan adanya syarikat-syarikat korporat tempatan yang berkeupayaan besar dengan mengalu-alukan mereka terus bergabung bersama kerajaan negeri dan mempamerkan potensi besar perniagaan dan industri di negeri ini kepada masyarakat luar, baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa.

“Dalam bidang ekonomi, kita bukan sahaja meminta untuk menambah royalti minyak dan gas, tetapi juga menggalakkan lebih banyak penyertaan peniaga tempatan dalam industri minyak dan gas, dalam usaha kita merancakkan lagi aktiviti ekonomi untuk rakyat.

“Oleh yang demikian kerajaan amat berharap untuk melihat lebih banyak syarikat tempatan yang berjaya seperti Kumpulan Syarikat Naim (Naim) pada masa akan datang,” katanya.

Berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 Naim di Rumah Kelab Naim di sini malam kelmarin, Adenan berkata beliau amat berbangga kerana Sarawak mempunyai sebuah syarikat pemaju sepeti Naim yang telah membuktikan pencapaiannya sejak 20 tahun lalu dan secara langsung membantu melonjakkan pembangunan di negeri ini.

“Kisah Naim adalah amat menepati aspirasi kerajaan negeri – bahawa pembangunan mampan yang bukan sahaja mengenai betapa baiknya produk kita atau bagaimana strategi kita dalam merancang perniagaan tetapi ia adalah mengenai integriti dan perkhidmatan,” katanya.

“Melihat kepada pencapaian Naim sejak 20 tahun lalu, Naim sudah semestinya membuatkan Sarawak berasa amat bangga, kerana memiliki sebuah syarikat yang bukan sahaja mempunyai kualiti kerja yang tinggi tetapi juga pengurusan dan tenaga kerja yang berdedikasi serta pemimpin yang berwawasan.

“Ini dibuktikan dengan lebih 20 anugerah dan pengiktirafan yang diperolehi mereka sejak 20 tahun lalu, anugerah yang menceritakan kisah mereka, ditambah dengan kualiti dalam industri, pembinaan serta hartanah, menjadikan ia sebuah syarikat yang benar-benar pemenang pelbagai anugerah, seperti yang dimegahkan mereka,” tambah beliau.

Menurut Adenan, Naim bukanlah satu nama yang asing bagi Sarawak, sebaliknya amat sinonim dengan pembangunan negeri ini dan juga negara, yang sekali gus menggambarkan pertumbuhan sebuah bandar baharu, pembinaan infrastruktur mega seperti jambatan, MRT (di Semenanjung Malaysia) serta empangan.

“Malah Naim turut membina beberapa bangunan ikonik di sekitar negeri ini dan ini menunjukkan bahawa Naim, telah menjadi salah satu kunci komponen pembangunan bagi negeri Sarawak sejak bertahun-tahun lepas dan akan datang,” tambah beliau lagi. -UB


Adenan Teruskan Dasar Pembangunan Ekonomi Kukuh Adenan Teruskan Dasar Pembangunan Ekonomi Kukuh Reviewed by uMieySurianie on October 16, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.