Seo Services

#Bajet 2016 Tiada GST Semua Jenis Ubat Tidak Berjangkit


KUALA LUMPUR: Tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit, adalah antara tujuh langkah penambahbaikan layanan GST berkuat kuasa menjelang 1 Januari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penambahbaikan itu membabitkan semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A,B,C,D serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat 'boleh dibeli kaunter'.

"Ini meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini membabitkan peningkatan dua kali ganda daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahbaikan kedua adalah membabitkan tiada GST dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan makanan dan masakan termasuk susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik. Najib berkata, langkah itu diambil setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO. "...barangan makanan seperti susu bayi, kekacang, biji sawi, gula merah dan mee kolok turut diberikan pelepasan GST. Langkah ini bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST.

"Kerajaan mencadangkan supaya, had jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada RM100,000 kepada RM50,000.

Ia bagi mendorong lebih ramai petani kecil mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan dua peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.

"Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran," katanya ketika membentangkan Bajet 2016.

Tambah Najib, industri minyak dan gas turut diberikan pelepasan GST daripada aspek pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak dan platform terapung.

Selain itu, pelepasan GST juga diberikan kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Najib berkata, penambahbaikan keempat pula adalah syarikat-syarikat terbabit aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di dalam industri aeroangksa pula akan dibenarkan menyertai 'Approved Trader Scheme' dan diberikan pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Penambahbaikan kelima pula membabitkan pelepasan GST ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran, katanya.

Selain pelepasan dan penambahbaikan berkenaan, Najib turut mengumumkan pengguna telefon bimbit akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan pembayar mereka berkuat kuasa mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar untuk manfaat penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikecualikan GST.

Najib dalam pada itu memberitahu Dewan Rakyat, hingga kini, terdapat hampir 400,000 jumlah syarikat yang telah berdaftar dengan GST dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus.

Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April lalu yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.

GST dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai sebelum pelaksanaan GST. - BH

#Bajet 2016 Tiada GST Semua Jenis Ubat Tidak Berjangkit #Bajet 2016 Tiada GST Semua Jenis Ubat Tidak Berjangkit Reviewed by uMieySurianie on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.