Seo Services

#Bajet2016 : Kerajaan Akan Terus Percepat Pelaksanaan Pembaharuan Bagi Meningkatkan Produktiviti


KUALA LUMPUR : Kerajaan akan terus mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang meningkatkan produktiviti bagi menambah baik kualiti modal insan dan mengukuhkan daya saing untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, di samping memastikan pertumbuhan kekal inklusif dan mapan.

Dalam mencapai ini, kepelbagaian ekonomi telah dan kekal menjadi teras strategi pembangunan Malaysia, kata Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan Jumaat.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan tersebut, ekonomi Malaysia mencapai kemajuan signifikan sejak kemerdekaan seperti dicerminkan oleh kadar pertumbuhan yang memberangsangkan.

Pembaharuan struktur yang dilaksanakan selama ini telah menghasilkan ekonomi yang lebih menyeluruh dan pebagai, membolehkan Malaysia secara asasnya kekal kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan luar.

Daripada ekonomi berteraskan pertanian pada tahun 1970-an, ekonomi Malaysia kini lebih pelbagai dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi penyumbang utama sebanyak 77 peratus kepada pertumbuhan ekonomi.

Laporan itu menambah keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar meningkat secara purata sebanyak 6.4 peratus setahun dalam tempoh 1970 hingga 2014, manakala pendapatan per kapita meningkat lebih 25 kali ganda daripada US$347 pada tahun 1970 kepada US$10,677 pada tahun 2014.

Pencapaian pertumbuhan ekonomi turut diiringi peningkatan ketara dalam kualiti hidup.

Insiden kemiskinan keseluruhan telah berkurangan kepada 49.3 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014, manakala kemiskinan tegar telah dibasmi sepenuhnya.

Pekali Gini mengecil daripada 0.513 kepada 0.401 dalam tempoh yang sama, mencerminkan pengagihan kekayaan yang saksama.

Kadar celik huruf juga meningkat kepada 95.2 peratus pada 2014 daripada 58 peratus pada 1970, manakala perkhidmatan kesihatan bertambah baik pada 2014 dengan jangka hayat kelahiran meningkat kepada 74.8 tahun.

Kesemua pencapaian ekonomi dan sosial ini, menurut laporan tersebut, adalah hasil daripada perubahan struktur secara terancang yang telah mengubah Malaysia daripada ekonomi berteraskan pertanian kepada ekonomi yang memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan moden. - BERNAMA
#Bajet2016 : Kerajaan Akan Terus Percepat Pelaksanaan Pembaharuan Bagi Meningkatkan Produktiviti #Bajet2016 : Kerajaan Akan Terus Percepat Pelaksanaan Pembaharuan Bagi Meningkatkan Produktiviti Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.