SADONG JAYA: Golongan belia di Sadong Jaya digesa menggunakan sepenuhnya semua kemudahan dan pembangunan infrastruktur yang telah dibina dan disedia untuk memperkasa diri mereka agar menjadi belia yang mempunyai cita-cita tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata belia bercita-cita tinggi mampu menjadi penggerak kepada masyarakat Sadong Jaya yang lebih maju dan berdaya saing.
Menurutnya dengan berbaki lima tahun sahaja lagi menuju ke tahun 2020 sebagai negara berpendapatan tinggi kinilah masanya untuk golongan belia bangkit mempersiapkan diri agar dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang kejayaan dan kemajuan negara.
"Jika kita lihat pembangunan yang ada di sekeliling kita, kita melihat perubahan satu demi satu daripada sebuah kawasan yang dulunya tidak lengkap dengan pembangunan infra, kini hampir seluruh kampung di Sadong Jaya mempunyai dewan.
"Kemudahan rekreasi dan sukan juga dinaiktaraf seperti Padang Bolasepak Kampung Jaie (RM80,000) serta Padang Bolasepak Kampung Semera Masjid (RM70,000). Projek penyambungan jalan bernilai RM3 juta untuk pembinaan lorong-lorong jalan ke rumah dan RM6 juta untuk jalan kampung manakala pembinaan perparitan konkrit di kampung-kampung di seluruh Sadong Jaya yang bernilai RM3 juta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa merasmikan Program Memperkasa Belia-belia Pemacu Kemajuan Masyarakat di sini hari ini. Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo.
Mengulas lanjut Nancy berkata kerajaan sentiasa komited demi keselesaan rakyat dan penduduk di kawasan tersebut dan percaya pembangunan lestari akan menjadi sistem yang akan mendokong usaha melahirkan modal insan cemerlang.
Beliau berkata kemudahan infrastruktur lain seperti Pasar Tani Semera memberi peluang kepada seluruh penduduk termasuk belia yang mempunyai minat untuk berniaga dan menjana ekonomi.
"Manakala Pusat Internet 1Malaysia Sadong Jaya serta satu lagi kemudahan yang akan dirasmikan pada minggu hadapan, iaitu Perpustaan Desa Semera, akan menjadi pelengkap kepada pembangunan di kawasan ini yang akan memberi peluang kepada golongan belia untuk memperkayakan diri dengan ilmu serta maklumat berguna," kata Nancy.
-- BERNAMA
Belia Perlu Guna Kemudahan Dan Pembangunan Infrastruktur Untuk Perkasa Diri
Reviewed by Unknown
on
October 05, 2015
Rating:
Reviewed by Unknown
on
October 05, 2015
Rating:

No comments: