NEW DELHI: Dua lelaki di negeri Madhya Pradesh, India telah memotong alat kelamin seorang lelaki yang kahwin lari dengan adik perempuan mereka.
Polis berkata insiden itu berlaku di Berasia, pinggir bandar Bhopal pada Selasa.
Dua beradik itu, Rakesh dan Suresh Kushwaha tidak menyenangi Bhupendra Jain, 28, sejak dia kahwin lari dengan adik mereka Babli, lapor Hindustan Times yang memetik kenyataan pegawai polis.
Jain, dari kampung Garethia Dangi kira-kira 40 kilometer dari Bhopal telah berkahwin dengan Babli tanpa restu keluarga perempuan.
Pada Selasa Jain telah dipanggil oleh abang-abang Babli ke rumah keluarga perempuan di Mahuakheda untuk mengadakan perbincangan tetapi berakhir dengan pertelingkahan.
Rakesh dan Suresh telah berjanji kepada pasangan pengantin bahawa mereka akan diraikan dalam majlis perkahwinan mengikut adat agar hubungan mereka mendapat pengesahan sosial.
Bagaimanapun tercetus pertengkaran sengit apabila Jain tiba di rumah keluarga perempuan.
Menurut polis, dua beradik itu berjaya mengalahkan abang ipar mereka dan salah seorang telah menyerang dengan pisau dan memotong alat kelamin mangsa.
Jain telah dikejarkan ke hospital berdekatan, tetapi kemudiannya dipindah ke Hospital Hamidia di Bhopal.
Menurut polis, Jain seorang wakil perubatan, dan Babli sudah berkahwin dan tinggal bersama, tetapi keluarga perempuan menyifatkan ia sebagai bersekedudukan yang menyebabkan mereka berasa malu.
-Bernama
Dua Beradik Potong Alat Kelamin Lelaki Kahwin Lari Dengan Adik Perempuan
Reviewed by Unknown
on
October 08, 2015
Rating:
No comments: