KUCHING: Fatwa yang diputuskan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dibuat berdasarkan proses istinbat yang betul berlandaskan al-Quran dan hadis sahih dengan mengambil kira masalah umum ummah dan keadaan semasa.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata kaedah itu akan menentukan hukum sebaik-baiknya yang dapat menyatukan pemikiran dan tindakan umat Islam serta dapat mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Beliau berkata seiring dengan perubahan zaman, masyarakat berdepan dengan pelbagai isu baharu dan permasalahan semasa yang tidak terlepas daripada persoalan hukum sama ada soal halal, haram, harus atau sebaliknya.
“Dalam konteks semasa, untuk menjelaskan soal hukum tersebut, maka peranan fatwa amat diperlukan.
“Kewibawaan fatwa semestinya mengambil kira lingkungan dan uruf supaya sesuatu itu dapat membimbing umat Islam berhadapan masalah semasa sesuai dengan tuntutan agama,” katanya.
Teks ucapan beliau dibaca Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak 2015 di sini semalam.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.
Adenan berkata Jabatan Mufti Negeri Sarawak merupakan badan yang menasihati kerajaan negeri dalam soal-soal kefatwaan dan rujukan muktamad masyarakat Islam bagi memastikan kewibawaan dan kebolehpercayaan terhadap fatwa.
Justeru ujarnya, Jabatan itu mestilah membuat kajian secara mendalam sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan.
“Dalam usaha mendaulatkan hukum Islam, usaha pihak kerajaan melalui institusi mufti dan badan-badan bertanggungjawab tentang hal-ehwal Islam pastinya tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dorongan umat Islam.
“Oleh itu, saya mengingatkan umat Islam agar sentiasa peka terhadap peranan mereka dan sentiasa mengambil sikap cakna atau ambil berat yakni mengambil tahu tentang fatwa yang telah diputuskan,” ujarnya.
Rakyat tambah beliau, sewajarnya berlapang dada dalam menerima fatwa diputuskan sebagai keputusan yang mesti dipatuhi.
“Maka dengan itu, tema seminar fatwa kali ini ‘Fatwa Berwibawa Maqasid Syariah Tercapai’ sangat relevan, signifikan dan perlu dihayati dengan mendalam oleh semua umat Islam supaya objektif penganjuran seminar ini dapat direalisasikan.
“Saya difahamkan penganjuran seminar kali ini bertujuan membincangkan fatwa-fatwa dalam pelbagai bidang yang telah diputuskan oleh Lembaga Fatwa Negeri Sarawak” katannya.
Menurut Ketua Menteri lagi umat Islam harus memahami tujuan syariat Allah SWT dengan betul agar dapat mengambil hikmah daripada pensyariatan tersebut.
Ini kerana tegas beliau, semua yang telah ditentukan oleh Allah SWT mempunyai tujuan (maqasid) tersendiri dan sudah pasti, itulah yang terbaik untuk umatNya. - UB
Fatwa Berdasarkan Proses Istinbat Betul Berlandaskan Al-Quran, Hadis Sahih: KM
Reviewed by uMieySurianie
on
October 07, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
October 07, 2015
Rating:

No comments: