MIRI: Rakyat negeri ini perlu memberi mandat besar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi membolehkan Adenan meneruskan pembangunan di luar bandar bagi tempoh lima tahun lagi.
Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap ADUN Lambir Ripin Lamat berkata Adenan sudah berjanji kepada rakyat bahawa jika diberi peluang lima tahun lagi mentadbir Sarawak, beliau akan membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.
“Malah rakyat sendiri sudah melihat hasil pentabiran beliau meskipun kurang dua tahun menyandang jawatan Ketua Menteri namun banyak perubahan dilaksana demi kepentingan dan kebaikan rakyat negeri ini,” katanya ketika merasmikan Program Kraf Kreatif 2015 di Kampung Bidayuh Lusut, Lambir kelmarin.
Beliau berkata Adenan sudah melakukan banyak perubahan dan tegas dengan keputusannya dalam usaha membantu rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan agama termasuk menurunkan tarif elektrik, menyerap GST di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), memansuhkan tol di jambatan-jambatan di Sarawak, membanteras pembalakan haram, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menuntut kuasa autonomi untuk Sarawak.
Katanya keputusan itu ternyata mendapat sambutan amat baik rakyat negeri ini daripada pelbagai peringkat.
“Kini kerajaan memberi tumpuan lebih terhadap pembangunan luar bandar negeri ini dengan melengkapkan kemudahan bekalan air serta elektrik, menaik taraf jalan dan sebagainya.
“Kampung-kampung di kawasan Lambir termasuk Kampung Lusut tidak terkecuali menerima pembangunan kerajaan lebih-lebih lagi konstituensi Lambir yang masih memerlukan pembangunan,” katanya.
Program Kraf Kreatif 2015 itu dianjurkan Majlis Pembangunan Wanita Kawasan (MPWK) Parlimen Sibuti bertujuan mendedahkan golongan wanita khususnya suri rumah mengenai program kemahiran tangan atau kraf tangan.
Dalam pada itu, seramai 37 lagi wanita menyertai program membuat gubahan bunga untuk perkahwinan.
Hadir sama Pengerusi MPWK Parlimen Sibuti Kaunselor Zainani Salleh, Ketua Kaum Kampung Bidayuh Jimmy Nyahen, Ketua Kaum Kampung Lusut Jaya 1 Jembu Banga dan Ketua Kaum Kampung Perpaduan Peter Lilin. - UB
Rakyat Sarawak Perlu Beri Mandat Besar Kepada Adenan
Reviewed by uMieySurianie
on
October 07, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
October 07, 2015
Rating:

No comments: