KUCHING: Seorang remaja dikhuatiri retak tengkoraknya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya berdekatan Kampung Boyan di sini, semalam.
Menurut sumber, gadis berusia 18 tahun berasal dari Tanjung Bundong, Kota Samarahan itu semasa kejadian menunggang motosikal bersama rakannya sekitar jam 7 pagi.
Difahamkan, mangsa yang dipercayai kurang mahir menunggang motosikal gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas menyebabkan mangsa dan rakannya tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.
Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa selain turut menghubungi keluarganya yang tinggal di kawasan berdekatan.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), di mana dikatakan berlaku pendarahan dalaman di bahagian kepala mangsa dan dikhuatiri mengalami keretakan tengkorak,” kata sumber.
Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dikatakan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Zon Merah HUS, manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Sementara dalam kejadian berasingan, seorang wanita turut dikejarkan ke HUS selepas keretanya dirempuh sebuah pikap yang melawan arus jalan di Jalan Batu Lintang, lewat malam kelmarin.
Menurut sumber, mangsa semasa kejadian bersama bapa mentuanya dalam perjalanan pulang ke rumah apabila sebuah pikap jenis Triton merempuh keretanya sekitar jam 11.45 malam.
“Mangsa dibantu oleh orang awam sebelum dikejarkan ke HUS untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.
Manakala pemandu pikap serta penumpangnya dan bapa mentua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Siasatan polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan.-UB
Gadis Dikhuatiri Retak Tengkorak
Reviewed by Unknown
on
October 22, 2015
Rating:
No comments: