KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat mencabar Pembangkang menyenaraikan nama ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jika senarai penuh sokongan diterima, usul itu boleh dipertimbangkan untuk dibentangkan pada persidangan kali ini.
"Saya masih menunggu pembangkang menghantar senarai ke meja saya kerana mereka mempunyai 89 sokongan sahaja, belum berubah.
"Apabila mereka serah senarai bahawa mereka berjaya tarik lebih 90 atau 100 sokongan ahli Parlimen, mungkin saya boleh tekankan kepada kerajaan harus dibahaskan usul itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul undi tidak percaya baharu yang akan dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dibentangkan pada persidangan kali ini.
Mengulas lanjut, Pandikar berkata sebarang usul boleh dihantar tetapi ia perlulah memenuhi syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 26 dan 27 iaitu perlu mempunyai notis.
Katanya, jika syarat itu dipenuhi usul tersebut boleh dimasukkan dalam aturan mesyuarat.
"Bagaimanapun tidak semua usul itu terutama yang dibawa oleh wakil pembangkang akan dapat dibahas kerana ia tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 15 yang menyatakan urusan kerajaan perlu diberikan keutamaan," katanya.
Mengenai usul undi tidak percaya, beliau berkata ia tidak semestinya dibawa ke Dewan Rakyat untuk diundi.
Pandikar memberi contoh situasi yang berlaku di Sabah terhadap bekas ketua menterinya Datuk Joseph Pairin Kitingan apabila ahli-ahlinya telah memberikan tandatangan masing-masing menyokong undi tidak percaya terhadap beliau.
"Itu jelas mereka semua faham dan usul undi tidak percaya ini tidak semestinya dibawa di Dewan Rakyat untuk diundi. Macam-macam benda lain boleh dibuat.
"Jadi kenapa usul mesti dibuat di sini," katanya.
Pada Isnin Dr Wan Azizah mengumumkan akan mengemukakan usul undi tak percaya terhadap Najib dan usul terdahulu yang dihantar oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan akan ditarik balik.
Pandikar kemudian berkata, usul itu jika diterima tidak dapat dibentangkan kerana Peraturan Mesyuarat memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum sidang Parlimen bermula.
Bagaimanapun pada Selasa Dr Wan Azizah mengadakan pertemuan dengan Pandikar dan menyatakan bahawa pertemuan berlangsung dalam suasana baik dan usul undi tidak percaya tetap akan dihantar.-bernama
Speaker Cabar Pembangkang Senaraikan Sokongan Undi Tidak Percaya
Reviewed by Unknown
on
October 21, 2015
Rating:
No comments: