Perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia pada hujung minggu ini tetap akan diteruskan walaupun keadaan jerebu di Litar Sepang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berkata Dorna iaitu pemegang hak penganjuran MotoGP, tetap mahu perlumbaan diteruskan dengan menetapkan beberapa perancangan antaranya memendekkan masa perlumbaan sekiranya keadaan jerebu semakin teruk.
"Saya telah berbincang dengan Dorna pagi tadi. Mereka pernah menganjurkan perlumbaan di negara lain yang mengalami jerebu. Kami juga mempunyai pelan kontingensi iaitu tidak mengadakan sesi pemanas badan atau memendekkan masa perlumbaan.
"Perlumbaan MotoGP ini perlu diteruskan juga kerana ia melibatkan kiraan mata bagi kedudukan keseluruhan dunia yang hanya berbaki dua perlumbaan lagi untuk musim ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.
Perlumbaan GP Malaysia kali ini boleh menentukan juara dunia kategori MotoGP di antara dua pelumba Movista Yamaha MotoGP, Valentino Rossi (Itali) dan Jorge Lorenzo (Sepanyol).
Rossi kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 296 mata, hanya 11 mata mengatasi Lorenzo.
Selain itu, pusingan ke-17 perlumbaan musim ini turut akan menjadi penentu kejuaraan dunia bagi kategori Moto3.
Kejuaraan dunia untuk kategori Moto2 telahpun dimenangi pelumba Perancis, Johann Zarco daripada pasukan Ajo Motorsports di Litar Motegi, Jepun pada 11 Okt lepas.
Sementara itu, empat pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (Moto2) serta Zulfahmi Khairuddin (Moto3) turut beraksi dalam baki dua perlumbaan musim ini.
Sempena sambutan Jubli Perak GP Motosikal Malaysia tahun ini, Razlan berkata penjualan tiket telah melebihi 80 peratus iaitu pertambahan sebanyak 38 peratus berbanding tahun lepas.
-- BERNAMA
Jerebu : MotoGP Tetap Diteruskan Di Sepang Hujung Minggu Ini
Reviewed by Unknown
on
October 21, 2015
Rating:
No comments: