SIBU: Orang ramai yang mempunyai anggota keluarga cacat penglihatan, tanpa mengira usia, disaran supaya mendaftar dengan badan atau pihak berkuasa bagi membantu mengemas kini statistik dan perancangan kerajaan di masa depan bertujuan membantu mereka.
Ini berikutan masih terdapat kurang kesedaran di kalangan penghuni bandar untuk mendaftar anggota keluarga yang cacat penglihatan dengan badan atau pihak berkuasa menyebabkan sukar untuk mengetahui jumlah sebenar mereka yang mempunyai masalah ini, kata Presiden Persatuan Buta Sarawak (SSB) Sibu Clarence Ting Ing Horth.
"Kami pernah terjumpa dua kes cacat penglihatan yang rumah mereka bersebelahan tapi anggota keluarga tidak mendaftar mereka di Jabatan Kebajikan atau persatuan kami. Ia amat mengejutkan kami," katanya pada sidang media sambutan Hari Penglihatan Sedunia dan Hari Tongkat Putih peringkat negeri di sini Rabu.
Menurut beliau, ramai yang merasakan anggota keluarga mereka tidak memerlukan bantuan memandangkan golongan berkenaan sudahpun berusia dan tinggal di rumah dengan baik.
Di masa dahulu, kebanyakan golongan cacat penglihatan berasal dari kawasan luar bandar dan hilang penglihatan disebabkan penyakit di usia muda namun pada hari ini ramai yang tinggal di bandar mengalami kehilangan penglihatan progresif disebabkan tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
"Ramai tidak sedar bahawa gaya hidup tidak sihat boleh menyebabkan diabetes makular edema, satu keadaan boleh menyebabkan buta. Ia boleh dirawat untuk mencegah kehilangan penglihatan," kata Ting.
Kini terdapat 2.6 juta orang menghidap diabetes di negara ini dan jika diabaikan, kebutaan boleh menjadi perkara yang lazim di dekad akan datang.
Justeru orang ramai dijemput menghadiri sambutan Hari Penglihatan Sedunia dan Hari Tongkat Putih di Wisma Sanyan pada 24 Okt ini yang dimuatkan dengan aktiviti informatif seperti pameran, ujian kadar gula dalam darah, dan pendaftaran orang cacat penglihatan.- BERNAMA
Masyarakat Disaran Daftar Anggota Keluarga Cacat Penglihatan
Reviewed by uMieySurianie
on
October 21, 2015
Rating:
No comments: