Seo Services

Penyepaduan Fiskal Kerajaan Malaysia Kekal Kukuh


KUALA LUMPUR - Trend penyepaduan fiskal Malaysia kekal kukuh tahun ini susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta pengurangan subsidi tenaga, kata Moody's Investors Service.

Kerajaan Malaysia berhadapan tindakan yang seimbang, antara komitmennya untuk mengimbangkan bajet dan menyediakan sokongan kepada ekonomi yang kini berhadapan kekangan untuk tumbuh, kata Naib Presiden badan penarafan itu, Christian de Guzman.

"Persoalkan pokok mengenai unjuran positif ke atas penarafan A3 Moody's ialah sama ada kerajaan Malaysia boleh melaksanakan semangat politik dalam mengekalkan trend penyepaduan fiskal yang dimulakannya pada 2010," katanya menerusi satu kenyataan.

"Kerajaan berjaya mengharungi isu ini sebelum ini. Berikutan mandat popular yang diterima pada Pilihan Raya Umum 2013, pembaharuan fiskal sebenarnya telah meningkat, apabila kerajaan mengumumkan keputusan untuk melaksanakan GST dalam pengumuman Bajet 2014 pada Oktober 2013."

Kerajaan juga berjaya memansuhkan subsidi bahan api apabila harga minyak dunia susut tahun lepas, sekali gus Moody's yakin trend penyepaduan fiskal Malaysia akan kekal kukuh tahun ini, katanya menjelang pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini.

Namun, berdasarkan tekanan ke atas hasil tahun depan ekoran harga minyak yang rendah, situasi kini tidak jelas sama ada kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan ke tahap yang mencukupi bagi mengekalkan trend terbabit, katanya.

Defisit fiskal diunjurkan pada 3.2 peratus tahun ini. - Bernama
Penyepaduan Fiskal Kerajaan Malaysia Kekal Kukuh Penyepaduan Fiskal Kerajaan Malaysia Kekal Kukuh Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.