TAPAH: "Mak saya selalu hantar bas ke bengkel itu untuk dibaiki tapi masih rosak. Saya tengok dia (suspek) macam menipu mak saya," kata R.Durisinggam.
Anak lelaki kepada wanita yang juga pengusaha bas yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di Jalan Pahang, di sini, berkata ibunya, V Gunavathi, 56, sering menghantar bas yang rosak kepada suspek utama kes itu yang merupakan pemilik bengkel berkenaan.
"Saya selalu nampak suspek hantar mak saya balik ke rumah. Memang selalu.
Mak saya tinggal bersebelahan rumah saya sahaja," Durisinggam, 40-an, ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini, Rabu.
Gunavathi yang dilaporkan hilang tahun lepas dipercayai antara empat mangsa pembunuhan kejam yang dilakukan empat sekeluarga itu.
Semua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar dan tulang serta abu mayat dibuang ke Sungai Ceroh yang mengalir di belakang bengkel berkenaan.
Pembunuhan kejam itu terbongkar selepas polis menyerbu bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini pada 26 Okt lepas, selepas mendapat maklumat mengenai seorang lelaki, Jasbeer Singh a/l Beer Sing yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 25 Ogos lalu.
Susulan itu polis membongkar kehilangan tiga lagi individu termasuk Gunavathi yang dipercayai mangsa pembunuhan kejam di bengkel sama dan polis percaya ada orang lain yang menjadi mangsa keluarga itu.
Durisinggam berkata dia mengetahui kehilangan ibunya tahun lepas selepas dimaklumkan rakannya.
"Ia berlaku pada Februari tahun lepas, saya ketika itu berada di Singapura melawat isteri dan anak di sana dan seorang kawan menelefon memberitahu mak saya tiada di rumah.
"Kalau tak silap, saya ke Singapura pada Jumaat dan kawan saya telefon pada Rabu minggu hadapannya," katanya.
Durisinggam berkata dia pulang ke Tapah selepas mendapat tahu perkara itu dan terus membuat laporan polis.
"Sebelum ini, orang dekat sini tuduh saya bunuh mak, buat apa saya nak bunuh mak...pada masa itu saya di Singapura.
"Saya pun ada anak bini, buat apa saya nak bunuh mak sendiri. Sebelum ini saya pernah nampak orang lain gaduh dengan mak. Sebelum tahu berita ini, saya syak mak dibunuh," katanya yang juga merupakan seorang pekebun.
Durisinggam berkata dia ke Singapura setiap bulan untuk melawat isteri dan anaknya di sana.
"Saya dapat tahu kes ini bersangkut paut dengan kehilangan mak selepas dihubungi polis baru-baru ini," katanya sambil menambah bapanya sudah lama meninggal dunia.-mStar
Anak Mangsa Bunuh Sering Nampak Suspek Hantar Ibunya
Reviewed by Unknown
on
November 04, 2015
Rating:
No comments: