TAIPEI – Pernahkah anda tertanya-tanya apakah mungkin berlaku kepada telefon bimbit yang dibuang? Di Taiwan, seorang artis tempatan dilaporkan memberinya sentuhan kreatif menjadi sebuah hasil karya seni moden.
Menurut akhbar Taipei Times, Lin Shih-Pao menghabiskan masa selama empat bulan untuk menyiapkan projek luar biasa – sebuah kereta lumba diperbuat daripada 25,000 unit telefon bimbit yang dibuang oleh pemiliknya.
Projek tersebut kata artis berusia 53 tahun itu, bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai alam sekitar bagi menunjukkan bagaimana timbunan sampah boleh dikitar semula dan ditukar menjadi karya seni yang menarik.
Karya unik Shih-Pao dikenali di seluruh dunia sebelum ini, antaranya The Gate of Wisdom yang memaparkan gerbang diperbuat daripada 300,000 batang pen hasil derma masyarakat menerusi pameran di Jepun pada 2005.
Juga karya seni bertajuk The Pink yang merupakan sebuah kereta diperbuat daripada ribuan sarung tangan getah dikumpul daripada derma buruh kasar sempena dedikasi kepada perjuangan gigih petani Taiwan baru-baru ini.
Graduan diploma seni dari Universiti Nagoya di Jepun dan Universiti New York di Amerika Syarikat (AS) itu membelanjakan AS$30,000 (kira-kira RM128,000) sejak empat tahun lalu mencari ribuan telefon bimbit lama.
Beliau sanggup mengutip gajet usang yang dibuang di merata dunia dan mujur menerima bantuan sejumlah 20,000 unit telefon buruk tersebut hasil sumbangan daripada pihak Yayasan Crystal yang berpangkalan di AS.
Kesemua telefon terbabit kemudian dikumpulkan di dewan Nanshan Senior High School di ibu kota Taiwan, Taipei sebelum dilekatkan ke rangka kayu dalam bentuk sebuah kereta dengan menggunakan paku dan gam.
Shih-Pao menamakan projek tersebut sebagai F1 Zan Che atau kereta lumba hijau F1 tetapi tidak merancang untuk menjual karyanya itu setelah dipamerkan kepada awam mulai 9 November ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Artis Taiwan Buat Kereta Dengan 25,000 Telefon Bimbit
Reviewed by uMieySurianie
on
November 04, 2015
Rating:
No comments: