Seo Services

Bunuh Isteri, Buruh Asing Dihukum Mati


MIRI: Seorang buruh ladang warga asing dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pagi semalam setelah didapati bersalah atas tuduhan mengelar isterinya sehingga mati.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas tertuduh kerana kesalahan membunuh diri dengan cara menikam perut dan mengelar leher sendiri mengguna sebilah pisau.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Mairin Idang setelah mendengar segala keterangan bukti yang dikemukakan pihak pendakwa serta hujah kedua-dua pihak pendakwa dan peguambela.

Selain itu, mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam serta berat kesalahan yang dilakukannya sehingga menyebabkan kehilangan satu nyawa.

Tompo Yara, 40, dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian isterinya, Salasiah Jama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 pagi, 16 Januari 2014 di sebuah bilik tidak bernombor di kuarters pekerja Blok Miri LKS 8, Ladang Kuala Suai Tradewind Plantation Sdn. Bhd, Suai.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah cuba membunuh diri dengan cara menikam perut dan mengelar lehernya mengunakan sebilah pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada masa dan di tempat yang sama.

Sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung, pihak pendakwa memanggil seramai 12 orang saksi pendakwaan bagi memberi keterangan untuk menyabitkan tertuduh dengan kesalahan didakwa.

Manakala tertuduh diwakili peguambela dilantik, Ranbir Singh Sangha hanya memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi semasa dipanggil membela diri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila.-UB
Bunuh Isteri, Buruh Asing Dihukum Mati Bunuh Isteri, Buruh Asing Dihukum Mati Reviewed by Unknown on November 01, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.