Seo Services

Cuti Pelepasan Deepavali Akan Dibawa Ke Kabinet Negeri


KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh memberi jaminan akan membawa permohonan penganut Hindu untuk memperoleh cuti pelepasan sempena perayaan Deepavali ke kabinet negeri.

Katanya beliau juga yakin akan mendapat sokongan daripada semua rakan kabinet yang lain dan semestinya akan mendapat pertimbangan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya menerima permohonan daripada Presiden Organisasi Belia Hindu Kuching (OBHK) Kannan Muniandy yang meminta agar kerajaan memberi pelepasan cuti tanpa rekod kepada penganut Hindu yang bekerja di sektor swasta.

“Bagaimanapun ia seharusnya ditulis kepada jawatankuasa undang-undang buruh Sarawak, tetapi saya akan membawa perkara ini ke kabinet negeri dan ia akan dibincangkan.

“Saya pasti Ketua Menteri kita akan mempertimbangkannya,” katanya.

Jelasnya ketika membaca permohonan bertulis daripada Kannan, sejak 1978, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan pelepasan cuti tanpa rekod kepada penjawat awam beragama Hindu sempena perayaan Deepavali, justeru permohonan itu mahu ia juga diberikan kepada pekerja swasta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Extravaganza di kompleks beli belah Riverside, di sini, semalam.

Deepavali Extravaganza itu turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan tarian dan nyanyian, pertunjukan kostum tradisional kanak-kanak, pertandingan, permainan interaktif dan banyak lagi.

Selain itu, orang ramai juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi membuat muruku, ‘Kolam’ (Ranggoli), jahitan sari serta pembuatan ‘Thoranam’. -UB-
Cuti Pelepasan Deepavali Akan Dibawa Ke Kabinet Negeri Cuti Pelepasan Deepavali Akan Dibawa Ke Kabinet Negeri Reviewed by Unknown on November 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.