Seo Services

JPAM Ambil Alih Tugas Pengendalian dan Pengurusan Bencana Dari MKN - Jabu


KUCHING: Keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet pada 26 Ogos secara rasminya memutuskan bahawa pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kini mengambil alih tugas pengendalian dan pengurusan bencana dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula hari ini.

Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang pada Sidang Media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (Banjir) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.

Beliau turut memberitahu tugas-tugas sekretariat pengurusan bencana Negeri Sarawak kini dipertanggungjawab kepada JPAM Negeri Sarawak. Pengarah Pertahanan Negeri Sarawak kini bertindak sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), manakala Pegawai Pertahanan Awam Daerah akan masing-masing bertindak sebagai Setiausaha Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Penyerahan tanggungjawab sekretariat pengurusan bencana ini hanya melibatkan perubahan fungsi dari MKN Negeri Sarawak kepada JPAM Negeri Sarawak sahaja.

"Sementara prinsip dan mekanisme pengurusan bencana akan diteruskan dengan mengguna pakai prinsip dan mekanisme melalui arahan MKN nombor 20 khususnya mengenai pengurusan bencana di tempat kejadian yang menetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak sebagai Komander Operasi Bencana.

"Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPN) akan bertindak sebagai Timbalan Komander Operasi Bencana di tempat kejadian," katanya.

Jabu berkata, JBPN dan Kerajaan Negeri Sarawak berharap semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan persekutuan, pegawai-pegawai di bahagian dan daerah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memberi sepenuh sokongan serta kerjasama kepada JPAM Negeri Sarawak dalam melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik dan berkesan demi menjamin kesejahteraan penduduk di negeri ini.

Jabatan Metrologi Malaysia (JMM), memaklumkan Monsun Timur Laut telah bermula di Malaysia dengan episod hujan lebat pertama dijangka berlaku minggu pertama bulan November.

"Musim Tengkujuh dijangka berakhir pada Mac 2016 dan sepanjang musim tengkujuh ini negara dijangka mengalami sekitar empat episod hujan lebat yang menyeluruh selama tiga hari hingga lima hari yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada November 2015 hingga Januari 2016 dan Barat Sarawak pada Januari hingga Februari 2016,"tambahnya. -Sarawakiana




JPAM Ambil Alih Tugas Pengendalian dan Pengurusan Bencana Dari MKN - Jabu JPAM Ambil Alih Tugas Pengendalian dan Pengurusan Bencana Dari MKN - Jabu Reviewed by Unknown on November 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.