Seo Services

Rohingya: Enam Suspek Warga Myanmar Dan Thailand Dikenal Pasti - Polis

 

KUALA LUMPUR: Enam suspek terdiri daripada warga Myanmar dan Thailand telah dikenal pasti bagi membantu siasatan berhubung penemuan kubur dipercayai etnik Rohingya di Wang Kelian, Perlis, Mei lepas.

Namun, tiada suspek tempatan yang dikenal pasti setakat ini, sejak siasatan dijalankan Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Ketua pasukan berkenaan SAC Goh Kok Liang berkata kesemua suspek dikesan berdasarkan maklumat daripada soal siasat kira-kira 30 saksi yang majoritinya rakyat tempatan dan beberapa pelarian Rohingya di Depoh Tahanan Belantik, Sik, Kedah.

"Daripada maklum balas mereka, tiada keterangan bahawa rakyat tempatan terlibat, hanya nama enam orang ini yang disebut.

"Bagaimanapun, saya alu-alukan orang ramai untuk salurkan maklumat kepada kami sekiranya mereka mengetahui ada orang tempatan terlibat, jangan hanya dengar cakap-cakap," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Goh berkata nama kesemua suspek terdiri daripada seorang wanita dan lima lelaki ini telah diperoleh dan sehingga kini mereka masih bebas sama ada di dalam atau luar Malaysia.

"Dipercayai suspek perempuan adalah warganegara Thailand, tetapi tidak boleh sahkan untuk suspek lelaki, tetapi semua sama ada (mereka) warga Myanmar atau Thai. Umur mereka juga belum diperoleh, cuma mereka orang dewasa.

"Hasil siasatan kita dah rujuk kepada Pejabat Peguam Negara kira-kira dua minggu lepas untuk nasihat, cuma belum ada keputusan setakat ini," katanya.

Bagaimanapun, Goh menarik perhatian bahawa kesemua suspek ini bukan dalang utama kes berkenaan.

"Mereka ini yang kita kesan adalah tahap bawahan, kita percaya mereka ini berperanan seperti pembekal makanan, sentri," katanya.

Ditanya sama ada, kesemua suspek berasal daripada satu kumpulan, Goh berkata ia belum dapat dipastikan lagi.

Beliau percaya maklumat hasil daripada keterangan keenam-enam suspek ini kemudian, akan membawa kepada tangkapan dalang utama.

Pada Mei lepas, pasukan keselamatan menemui 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar di beberapa kubur besar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Semalam, agensi media antarabangsa melaporkan 88 individu termasuk seorang jeneral kanan Thailand didakwa di mahkamah di Bangkok, Thailand atas jenayah pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

-- BERNAMA
Rohingya: Enam Suspek Warga Myanmar Dan Thailand Dikenal Pasti - Polis Rohingya: Enam Suspek Warga Myanmar Dan Thailand Dikenal Pasti - Polis Reviewed by Unknown on November 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.