Seo Services

Malaysia Berjaya Duduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Bagi Penggal 2015-2019


KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2015-2019 selepas memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata pemilihan Malaysia diumum pada Mesyuarat Pleno ke-12 Persidangan Agung UNESCO ke-38 yang berlangsung pada Rabu (11 Nov) di Paris.

Beliau berkata Malaysia memperoleh 165 undi diikuti Vietnam (156); Sri Lanka (149), Korea (137); Pakistan (135) dan Iran (128).

"Lembaga Eksekutif UNESCO terdiri daripada sejumlah 58 anggota yang dipilih, sebanyak 186 negara layak mengundi daripada sejumlah 195 anggota," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Malaysia bukannya asing dalam program dan aktiviti UNESCO, setelah menyertai pertubuhan itu pada 1958 dan menjadi anggota Lembaga Eksekutifnya selama beberapa penggal, yang terakhir antara 2007 dan 2011.

Mohd Khairul Adib berkata Malaysia juga dipilih menganggotai Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi Program Maklumat Untuk Semua (IFAP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Informasi (CI) pertubuhan itu.

IGC antara lain berperanan menyemak dan menilai pencapaian dan menentukan bidang asas yang memerlukan peningkatan kerjasama antarabangsa selain menyokong usaha mengumpul dana untuk pelaksanaan IFAP.

Mohd Khairul Adib berkata Malaysia juga mendapat penghormatan apabila Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dipilih menjadi pengerusi mesyuarat Suruhanjaya Sains UNESCO pada sesi persidangan itu.

Sebelum ini, persidangan itu sebulat suara melantik Noorul Ainur sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sains untuk penggal 2015-2017.

Noorul Ainur telah berkhidmat sebagai Naib Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial UNESCO bagi penggal 2013-2015.

-Bernama
Malaysia Berjaya Duduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Bagi Penggal 2015-2019 Malaysia Berjaya Duduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO Bagi Penggal 2015-2019 Reviewed by Unknown on November 12, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.