Seo Services

Pendidikan Pra-Sekolah Penting Dalam Perkembangan Akademik Kanak-Kanak


Kuching : Seramai 153 orang anak didik SeDidik sesi persekolahan 2015 telah berjaya menamatkan persekolahan pra-sekolah mereka dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Sedidik Zon Kuching, Samarahan dan Sri Aman bertempat di Dewan Hikmah Kuching, hari ini.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Nancy Sukri berkata, pendidikan pra-sekolah sangat penting kepada perkembangan dan kemajuan akademik kanak-kanak.

“Penting untuk kita sebagai pendidik menyeimbangkan usaha pemerkasaan ilmu kanak-kanak dengan menyemai nilai-nilai murni, yang dapat membentuk sahsiah dan keperibadian diri kanak-kanak kerana ketika di awal usia inilah mereka cepat menerima dan ‘menangkap’ apa jua ilmu yang didedahkan kepada mereka,”

“Apatah lagi pada ketika ini, negara kita sedang menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi dan kita perlu melahirkan modal insan yang mempunyai integriti, jati diri serta sifat kepimpinan yang tinggi kerana mereka adalah aset negara, yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan,” ujar beliau semasa memberi ucapan pada Majlis Konvokesyen Sedidik 2015.

Tambahnya lagi, tanggungjawab melahirkan modal insan berkualiti kelas pertama, tidaklah semudah yang disangka apatah lagi berdepan dengan perubahan lanskap persekitaran yang tidak lagi sama seperti 10 tahun yang lalu.

"Memiliki golongan pelapis dari kalangan anak muda yang mempunyai pemikiran positif dan berjiwa kental dalam mendepani cabaran mendatang sangat penting,"

"Apa yang kita mahu adalah generasi yang mampu berjuang dan mempertahankan negara ini daripada anasir jahat yang mahu menghancurkan keamanan dan perpaduan sedia ada,"

"Kita tidak mahu generasi muda yang ada begitu rapuh dan mudah diperalat oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk tujuan yang sia-sia."

Beliau juga mengatakan bahawa beliau sendiri telah menjadi mangsa provokasi media sosial apabila berita yang sudah diterbitkan 2 tahun yang lalu (8 November 2013) 'dikitar semula’ untuk menimbulkan kontroversi dan kekacauan di kalangan masyarakat di negara ini.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan Sarawak dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES), Datuk Haji Talib Zulpilip.
Pendidikan Pra-Sekolah Penting Dalam Perkembangan Akademik Kanak-Kanak Pendidikan Pra-Sekolah Penting Dalam Perkembangan Akademik Kanak-Kanak Reviewed by Unknown on November 10, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.