Seo Services

PERKOF Tidak Berpuas Hati Agihan Projek

UNTUK ADENAN: Jawi (tengah) bersama (dari kanan) Majang, Jimbau, Bujang dan Jampong menunjukkan surat yang akan diutuskan kepada Adenan pada sidang media di Sibu semalam.

SIBU: Persatuan Kontraktor Kelas F (PERKOF) Wilayah Tengah di sini melahirkan rasa tidak puas hati agihan projek atau tender yang didakwa berlaku ketirisan dan ketidakadilan.

Pengerusinya Kaunselor Jawi Anom berkata projek-projek terbabit ialah Projek Infrastruktur Awam (PIA), Projek Infrastruktur Asas (PIAS), Projek Bantuan Rumah (PBR) dan Projek Mesra Rakyat (PMR).

“Semua projek tersebut di bawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Kami mahu semua tender projek dibuka dengan cara cabutan undi agar semua kontraktor mendapat projek secara adil,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Penolong Bendahari PERKOF Wilayah Tengah Kaunselor Jimbau Galau, Setiausaha Persatuan Kontraktor Selangau James Jampong Abu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Sarawak Bujang Yaakub dan Ahli Jawatankuasa PERKOF Wilayah Tengah David Majang Sang.

Menurut Jawi, projek PIA, PIAS dan PMR tidak lagi dibuka secara cabutan undi.

“Projek PBR masih dibuka dengan cara cabutan undi namun hanya dijalankan pada awal tahun ini sahaja. Selepas itu… tiada,” jelasnya.

Katanya, mengikut peraturan KKLW semua projek tersebut dijalankan dengan cara cabutan undi.

“Jika tidak ditangani dengan betul, kontraktor terlibat akan menghadapi masalah dalam pendapatan,” katanya.

Sehubungan itu, Majang memberitahu ada segelintir individu menggunakan nama wakil rakyat di sini aktif mengumpul lesen para kontraktor.

Jelasnya, ini telah melanggar peraturan dan syarat lesen mereka kerana lesen kontraktor tidak boleh diberi kepada orang lain.

“Kami memohon agar agensi pelaksana serta yang berwajib menyiasat perkara ini kerana individu terlibat itu seolah-olah mempunyai agenda tersendiri mengaut keuntungan.

“Bukan itu sahaja, setiap kontraktor perlu menjalani ujian terlebih dahulu sebelum diberi sesuatu projek bagi menentukan mereka benar-benar kontraktor.

“Kerajaan harus memastikan setiap projek diagihkan harus dijalankan dengan adil dan sama rata mengikut kemampuan kontraktor serta berdasarkan kelas lesen,” ujarnya.

Sependapat dengan Majang ialah Bujang yang berharap agar tender projek dibuka kepada mereka yang memiliki lesen sahaja dan bukan kepada rakan-rakan sahaja.

Menurutnya, ada segelintir wakil rakyat memberi projek kepada para kroninya sahaja.

“Kita berharap masalah ini tidak terjadi lagi di Sibu dan pihak berkenaan perlu mengkaji serta mempertimbang permintaan kami,” katanya.

Sementara itu, PERKOF Wilayah Tengah akan menghantar surat aduan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi menyelesaikan masalah-masalah menimpa kontraktor di Sibu.

“Surat pun siap kami tulis dan dijangka akan kami kirim kepada Adenan (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) dalam sedikit masa lagi untuk perhatian beliau,” jelas Jawi. -UB
PERKOF Tidak Berpuas Hati Agihan Projek PERKOF Tidak Berpuas Hati Agihan Projek Reviewed by Unknown on November 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.