Seo Services

PPSMS Mahu Isu Pengetua SMK Sungai Paoh Diselesaikan Segera

KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) mahu isu penempatan seorang ustaz sebagai pengetua SMK Sungai Paoh, Sarikei, dilihat, difikir dan diterjemahkan dalam satu perspektif yang rasional dan profesional.

Yang Dipertua PPSMS Ibrahim Jamian berkata pihaknya percaya dan yakin keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri dengan menempatkan ustaz berkenaan di sekolah itu, setelah mengambil kira semua aspek serta pertimbangan sewajarnya.

Beliau berkata hasil siasatan dilakukan PPSMS mendapati bahawa kesemua pengetua dan guru besar sedia ada, yang ditawarkan jawatan tersebut (pengetua) bukannya diambil dari luar Sarawak.

"Mereka terdiri guru-guru kanan yang telah lama berkhidmat di Sarawak serta membuktikan kecemerlangan perkhidmatan, selain telahpun mendirikan rumah tangga dan bermastautin di Sarawak termasuklah ustaz yang dimaksudkan," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Majoriti pelajar di SMK Sungai Paoh berketurunan Iban serta beragama Kristian dan penempatan ustaz terbabit mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta pemimpin setempat.

Sehubungan itu, Ibrahim meminta semua pihak agar mendapatkan maklumat yang tepat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, andaian dan tuduhan kurang berasas.

"Marilah kita bersama-sama keluar daripada kotak pemikiran dan pandangan yang sempit demi membangun dan meningkatkan kualiti pendidikan di Bumi Kenyalang ini. Kita harus berpandangan jauh dan memiliki pemikiran kelas dunia jika ingin berdaya saing dan maju," katanya.

Sambil berharap isu penempatan ustaz terbabit akan berakhir dengan penyelesaian yang baik, Ibrahim berkata sejak 2013, pelantikan pengetua perlu melalui pelbagai proses yang sangat ketat dan mencabar sebelum ditempatkan ke sesebuah sekolah.

Selain itu, beliau berkata soal integrasi nasional dan perpaduan antara kaum turut diambil kira dalam penempatan seseorang pemimpin sekolah.

-- BERNAMA
PPSMS Mahu Isu Pengetua SMK Sungai Paoh Diselesaikan Segera PPSMS Mahu Isu Pengetua SMK Sungai Paoh Diselesaikan Segera Reviewed by Admin on November 12, 2015 Rating: 5

1 comment:

  1. Buang masa ambil orang luar. Baik naikkan orang sendiri yang dah bertahun tahun mengajar di Sarawak.

    ReplyDelete

ads 728x90 B
Powered by Blogger.