Seo Services

Tasik Biru Diperkasa Sebagai Lokasi Aktiviti Sukan Air


BAU: Usaha memperkasakan Tasik Biru sebagai lokasi pelancongan berasaskan aktiviti sukan air terus diperhebatkan menerusi Pesta Tasik Biru 2015.

Timbalan Residen Kuching Annielia Sian berkata, penganjuran Pesta Tasik Biru 2015 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mempromosi dan mengukuhkan kawasan itu sebagai antara lokasi pelancongan di negeri ini.

Malah, menurutnya penganjuran program seumpama itu juga dapat membantu penduduk tempatan khasnya usahawan meningkatkan ekonomi dan pendapatan mereka.

“Pesta Tasik Biru 2015 adalah usaha kita mempromosikan Tasik Biru ini sebagai lokasi pelancongan yang menawarkan aktiviti sukan air selain keindahan alam semula jadi yang ada di sini.

“Justeru, kita akan meneruskan penganjuran program seperti ini bagi membantu masyarakat setempat lain menarik lebih ramai orang luar terutama pelancong datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2015, mewakili Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek di pekarangan tempat letak kereta Tasik Biru di sini semalam.

Pada masa sama Annielia turut berbangga dengan sambutan yang amat memberangsangkan daripada penduduk setempat mahupun dari luar yang datang berkunjung ke pesta itu.

“Saya amat yakin Pesta Tasik Biru 2015 ini akan terus menjadi tarikan utama terutama pelancong luar datang berkunjung ke sini,” tambahnya.

Terdahulu, Pegawai Daerah Bau Enting Nyami selaku pengerusi pengelola Pesta Tasik Biru 2015, ketika berucap mendedahkan bahawa pesta itu berjaya menarik lebih 10,000 orang sejak diadakan bermula 30 Oktober lalu hingga semalam.

“Justeru, saya berharap masyarakat setempat akan terus memberi sokongan terhadap penganjuran Pesta Tasik Biru ini pada masa akan datang,” ujarnya. - UB



Tasik Biru Diperkasa Sebagai Lokasi Aktiviti Sukan Air Tasik Biru Diperkasa Sebagai Lokasi Aktiviti Sukan Air Reviewed by uMieySurianie on November 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.