KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meraih kejayaan besar pada Pesta Perdagangan Antarabangsa bagi "Idea-Ciptaan-Produk Baharu (iENA) ke-67 di Nuremberg, Jerman dari 29 Okt hingga 1 Nov.
Naib canselornya, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata UNIMAS memenangi anugerah emas, perak dan dua gangsa.
Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau berkata lebih 36 negara menyertai pesta itu, yang memperkenalkan 700 produk.
"Anugerah emas dimenangi pensyarah Fakulti Kejuruteraan kami, Prof Dr M. Shahidul Islam.
"Beliau mengemukakan produk, 'Novel Research on Desalination Process Plant Capacity Optimisation: In the Aspect of Commercialisation, Energy and Environment Sustainability," kata Mohamed Kadim.
Beliau berkata, di tanah air, produk Shahidul itu digunakan untuk membekalkan air terawat dan bersih dari sungai kepada penduduk Kampung Sadong Jaya di sini.
Anugerah perak pula dimenangi Ir Dr David B.L. Bong, juga daripada Fakulti Kejuruteraan, melalui produknya, 'Bit-Plane Extraction Approach for Biometric Identification'.
"Kemudian, Dr Saiful Bahari Mohd Yusuf daripada Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif meraih anugerah gangsa melalui ciptaannya, 'Flooring Panel Products from Compacted Palm Oil Fibre," kata beliau.
Beliau berkata satu lagi anugerah gangsa dimenangi Prof Dr Alvin W.Yeo melalui produknya, 'Digitalising and Preserving Oroo: A Secret Signage Language of the Nomadic Penans in the Rainforest'."
Sementara itu, timbalan naib canselor universiti itu Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman menggesa semua bekas pelajar UNIMAS mendaftarkan diri dengan persatuan alumni universiti tersebut bagi mengukuhkan lagi kedudukannya untuk membantu mereka.
"Kami amat mengalu-alukan sumbangan kewangan secara sukarela daripada 28,178 lepasan yang kami lahirkan sejak 1997, memandangkan kami juga banyak menghulurkan bantuan kebajikan kepada ramai daripada mereka," katanya.- BERNAMA
UNIMAS Menang Empat Anugerah Pada Pesta Perdagangan Antarabangsa Nuremberg Ke-67 Di Jerman
Reviewed by uMieySurianie
on
November 09, 2015
Rating:
No comments: