Seo Services

UPSR 2015: Jurang Pencapaian Akademik Sekolah Luar Bandar Dan Bandar Semakin Mengecil - Mahdzir


KUALA LUMPUR: Jurang pencapaian akademik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) antara luar bandar dan bandar di seluruh negara semakin mengecil berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) tahun ini, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya GPN bagi sekolah luar bandar mencatat 2.34 berbanding 2.38 pada tahun lepas manakala sekolah bandar pula kekal mencatat GPN 2.21.

Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

"Ia merupakan pencapaian yang baik dalam pendidikan negara ini apabila jurang pencapaian akademik antara sekolah luar bandar dan bandar semakin mengecil.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian (UPSR) pada tahun ini dan berharap agar ia akan kekal pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara sempena pengumuman keputusan UPSR 2015 di sini, Selasa.

Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Damansara Hazinah Ibrahim berkata sekolah itu muncul sebagai sekolah terbaik pencapaian UPSR di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini.

Katanya seramai 81 daripada 178 calon peperiksaan UPSR mendapat kesemua A dalam lima mata pelajaran yang diduduki oleh mereka.

"Pencapaian kesemua A itu meningkat kepada 81 orang berbanding 69 orang pada tahun lepas, manakala semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan kecuali Bahasa Melayu Pemahaman ada sedikit penurunan iaitu 2.3 peratus.

"Secara keseluruhan sekolah itu mencapai peningkatan sebanyak 0.9 peratus iaitu 98.7 peratus pada tahun ini berbanding 97.8 tahun lepas," katanya.

-- BERNAMA
UPSR 2015: Jurang Pencapaian Akademik Sekolah Luar Bandar Dan Bandar Semakin Mengecil - Mahdzir UPSR 2015: Jurang Pencapaian Akademik Sekolah Luar Bandar Dan Bandar Semakin Mengecil - Mahdzir Reviewed by Unknown on November 17, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.