Seo Services

5 Planet Dan ISS Sebaris Di Angkasa Malaysia, Singapura


SINGAPURA – Berita baik penggemar fenomena bintang-bintang yang berkerdipan di angkasa. Minggu ini, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) boleh dilihat di langit – berserta planet Jupiter, Zuhal, Marikh, Zuhrah dan Utarid.

Menurut laman Facebook Pusat Pencerapan Pusat Sains Singapura, ISS berjaya dilihat di langit negara itu dan jirannya, Malaysia pada 30 Januari 2016 antara 6.02 pagi dan 6.05 pagi, ketika ia bergerak merentasi angkasa.

“ISS dapat dilihat sebagai cahaya amat terang – hampir seterang planet Jupiter – di ufuk di bawah Zuhrah,” menurut pusat sains itu dalam kenyatan yang dipetik akhbar tempatan TODAY dan agensi berita MediaCorp.

Pusat Sains Singapura menyatakan, disebabkan satelit kebetulan bergerak dengan begitu pantas, penting untuk mendapatkan jam yang diselaraskan agar tidak terlepas menyaksikan ISS di langit pada waktu ditetapkan.

Satu lagi panduan yang diberikan pusat tersebut – selaraskan jam anda dengan unit GPS, atau menerusi jam-jam online, supaya kita tidak terlepas daripada menyaksikannya secara langsung di depan mata kasar sendiri.

Menurut pusat sains itu lagi, pada pagi 31 Januari, ISS dapat dilihat lagi di langit, namun ia akan berada di kedudukan agak rendah di ufuk atau kaki langit sebelah timur apabila proses alamiah matahari terbit.

Namun, orang ramai mungkin berpeluang menyaksikan ISS sekali lagi pada pagi Isnin antara 5.55 pagi dengan 5.58 pagi. ISS akan kelihatan terang seperti penampilan Zuhrah di langit Singapura ini sejak beberapa hari ini.

Sejak 20 Januari 2016 minggu lalu, penduduk di Singapura dan Malaysia dapat menyaksikan planet Jupiter, Marikh, Zuhal, Zuhrah dan Utarid di langit dengan mata kasar – sesuatu yang unik jarang dapat dilakukan.

Kelima-lima planet itu dapat dilihat secara serentak di langit buat pertama kali dalam tempoh sedekad – sehingga 20 Februari depan. Kejadian sedemikian bagaimanapun mungkin akan berlaku lagi pada Ogos tahun ini.

Lebih istimewa lagi, pada 27 Januari 2016, selain lima planet itu, bulan turut dapat dilihat di langit dan menurut Persatuan Astrologi Diraja Britain, lima planet itu tidak dapat dilihat serentak di langit sehingga Oktober 2018.

Pensyarah Kanan Jabatan Fizik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr. Cindy Ng, berkata, penampilan kelima-lima planet tersebut secara sebaris serentak itu sebenarnya merupakan satu “acara istimewa.”

“Selalunya, kita dapat lihat kelima-lima planet itu di langit pada sebelah malam tetapi pada waktu-waktu berbeza. Jadi ini sesuatu yang istimewa untuk menyaksikan kelima-lima planet pada masa yang sama,” katanya.

Pusat Sains Singapura dalam pada itu menyatakan, waktu terbaik untuk menyaksikan kesemua lima planet berkenaan ialah sekitar 6 pagi, dan antara tempat terbaik untuk menyaksikannya ialah di East Coast Park.

Kelima-lima planet tersebut juga dapat dilihat di langit terus daripada rumah, selain kita boleh menyaksikannya dari tempat yang tinggi tetapi dengan syarat mesti tanpa sebarang hadangan menghala ke ufuk timur.

Lagi satu peluang yang baik untuk menyaksikan kesemua lima planet itu ialah pada hujung minggu sebelum Tahun Baharu Cina. Inilah masa paling baik melihat Utarid, yang terletak berhampiran bulan dan Zuhrah.

Dr. Ng juga menyarankan penggunaan aplikasi mudah alih ilmu falak untuk mengesan lokasi planet itu di langit pada malam hari namun seseorang mampu menyaksikan fenomena ini, jika tahu yang mana satu adalah planet.

Secara umum, planet tidak kelihatan berkerdipan seperti bintang. Zuhrah tampil sebagai planet paling terang, disusuli dengan Jupiter, dan kedua-duanya kelihatan lebih terang berbanding semua bintang di langit.

“Marikh kelihatan seperti kemerah-merahan, malah kedua-dua Marikh dan Zuhal kelihatan samar-samar, manakala Utarid kelihatan amat samar-samar kerana amat berhampiran dengan matahari.

“App ilmu falak boleh digunakan untuk mengesan lokasi planet-planet di langit pada malam hari. Banyak aplikasi seperti ini percuma dan mudah digunakan,” kata Dr. Ng. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
5 Planet Dan ISS Sebaris Di Angkasa Malaysia, Singapura 5 Planet Dan ISS Sebaris Di Angkasa Malaysia, Singapura Reviewed by uMieySurianie on January 30, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.